Pages

bersih 3.0

bersih 3.0
DUDUK DAN BANTAH



Wednesday, February 09, 2011

tunjukkan protes anda di merlimau


Setiausaha Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Kintan Man menyeru seluruh pengundi Dun Merlimau supaya menjadikan pilihan raya kecil Dun tersebut sebagai medan untuk melakukan protes terhadap kenaikan harga minyak dan barangan yang semakin menghimpit rakyat sekarang.

Kintan berkata bahawa kerunsingan terhadap kenaikan harga minyak dan barangan keperluan harian sememangnya bersarang di hati rakyat namun rakyat khususnya orang Melayu tiada kekuatan untuk mengalihkan undi mereka kepada Pakatan Rakyat.

"Minda orang Melayu telah didoktrinkan oleh Umno BN bahawa kenaikan harga barang ini tidak dapat dibendung dan ianya merupakan perkara biasa yang tidak dapat dielakkan.

"PAS dan PR mesti berusaha gigih untuk memberikan penerangan kepada rakyat bahawa kerajaan BN hari ini gagal menguruskan kenaikan harga barang ini dengan baik sehingga rakyat semakin terhimpit dan sengsara,"
Rakyat khususnya pengundi Dun Merlimau mesti diberi kefahaman bahawa antara sebab berlakunya kenaikan harga barang ialah kerana meningkat kos pengeluaran dan pengangkutan disebabkan kenaikan harga minyak yang sebenarnya boleh dielak oleh kerajaan.

"Malangnya kerajaan BN sendiri yang menaikkan harga minyak dengan menghentikan subsidi walaupun pada masa yang sama keuntungan Petronas dan kerajaan meningkat disebabkan kenaikan harga minyak dunia.

"Selain itu kerajaan juga gagal mengawal dan menangani masalah kenaikan harga barang yang dilakukan oleh pengeluar dan pemborong barangan keperluan sehingga semua tuntutan untuk menaikkan harga dipersetujui oleh kerajaan tanpa sebarang tindakan yang konkrit untuk menanganinya," tambah Kintan ketika ditemui di bilik operasi pilihanraya kecil Dun Merlimau.

Kintan mengajak seluruh pengundi Merlimau supaya bangkit memprotes kegagalan kerajaan menangani isu ini dengan memberikan undi kepada calon PAS pada pilihanraya kecil Dun Merlimau yang akan berlangsung pada 6 Mac ini.