Rasulullah saw Pencetus Transformasi Ummah
1. Dunia ini pernah gelap gelita tanpa cahaya hidayah. Penghuninya hidup berpelitakan nafsu dan syahwat. Sang perkasa menindas marhaen sementara sikaya menguasai fuqara' . Manusia berpetualang dengan hukum rimba. Tiada nilai kemanusiaan jauh sekali nilai intergriti . Arak membuih merosakkan aqal, pelacur dilanggan meruntuhkan maruah. Penipuan dan penindas menjadi rutin bermasyarakat. Siapa licik dialah cerdik. Kualiti orang kenamaan mereka terletak pada ketajaman lidah yang mampu melukakan hati dan perasaan insan yang lain.
2. Dunia kala itu dijolok sebagai jahiliyah. Biar kaya, biar pandai, biar kuat, biar berkuasa penghuninya, namun mereka adalah jahiliyyah. Justeru mereka tiada pedoman dan terhindar dari petunjuk Tuhan yang Mencipta, agar hidup mereka sejahtera, harmoni, aman, selamat dan bahagia.
3. Kasih sayang dan kasihan belas Tuhan yang Maha Pencipta telah mengutuskan Muhammad saw sebagai Rasul ummah untuk membawa satu perubahan dasar dan prinsip yang utama dalam kehidupan manusia. Berbekalkan Kitab Petunjuk [Al Quranul Karim] dan kemuliaan peribadi [akhlak] , Rasul al Amin ini meredah cabaran dan halangan yang bertolak dari dendam Yahudi dan Nasara serta kebodohan golongan Musyrikin .
4. Rasulullah saw hadhir sebagai Duta Penyelamat dan Kasih sayang bersama agenda menyelamatkan ummah dari murka Allah swt sekaligus mengangkat martabat kemanusiaan mereka agar tidak lagi terperangkap di bawah tempurung jahiliyyah. Sekurang - kurangnya 10 agenda perubahan besar digerakkan oleh Rasulullah saw :
Pertama : Aspek Aqidah, dari syirik kepada tauhid
Kedua : Aspek Akhlak, dari fasiq kepada soleh
Ketiga : Aspek Ideologi, dari jahiliyyah kepada Islam
Keempat : Aspek Tamadun, dari hamba kepada daulat
Kelima : Aspek Sosial, dari bathil kepada haq
Keenam : Aspek Pemerintahan, dari zalim kepada adil.
Ketujuh : Aspek Ekonomi, dari monopoli kepada agihan
Kelapan : Aspek Politik, dari rakus kepada kesaksamaan
Kesembilan : Aspek Ilmu,dari jahil kepada membaca [alim]
Kesepuluh : Aspek Kekeluargaan, dari kebencian kepada kasih sayang [mawaddah]
5. Menggerakkan agenda perubahan ini, Rasulullah saw berdepan dengan 1001 tekanan dan ancaman seperti :
- buang daerah
- penjara
- bunuh
- sukar
- jauh perjalanan.
Namun Rasulullah saw tidak pernah menyerah kalah sebaliknya mengorbankan segalanya demi melihat tercetusnya satu perubahan besar dalam hidup masyarakat jahiliyyah pada waktu itu.
6. Pelbagai pendekatan dan kaedah dakwah digerakkan oleh Rasulullah saw untuk meledak satu kebangkitan total dari ummat manusia agar berani dan nekad untuk bangkit menolak cara hidup 'lama" yang bergelumang dengan rasuah, riba, arak, judi, khurafat, penindasan, kezaliman, penipuan dan 1001 kepincangan hidup yang tidak berlandaskan sistem moral yang baik.
7. Rasulullah saw terpaksa menelan segala kepahitan berjuang, sungguhpun demikian Baginda saw tidak pernah mengalah justeru menyedari bahawa inilah sunnatullah dalam perjuangan untuk mendaulatkan syariat Allah swt. Nabi - nabi terdahulu telah melakar sejarah dalam episod perjuangan mereka yang matlamat dan cabarannya serupa untuk mentauhidkan Allah Jalla wa A'ala.
8. Sempena menyambut ulangtahun keputeraan Rasul saw, sayugianya kita menghayati ruh perjuangan Baginda saw dalam menggerakkan kesedaran dan membangkitkan keinsafan menolak regim jahiliyyah moden yang masih mengekalkan warisan jahiliyah kuno dalam corak kehidupan hari ini.
9. Mudahnya menafsirkan asas perjuangan Baginda saw ialah menentang mungkar dan menegakkan syariat dengan dakwah yang penuh hikmah. Sementara kemungkaran itu bukan sahaja pada keruntuhan moral seperti pergaulan dan seks bebas tetapi juga kemungkaran di dalam ekonomi yang memerangkap masyarakat dalam riba, rasuah, monopoli dan lingkaran kekayaan negara dikalangan pembesar. Kemungkaran juga berlaku dalam politik seperti penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan amanah rakyat.
10. Negara kita turut menerima kesan tempias dengan kemungkaran - kemungkaran tersebut. Oleh kerana terlalu lama membiarkan ia berlaku sehingga mengjangkau lebih 50 tahun sejak negara ini merdeka, akhirnya tempias itu telah membuatkan negara kita kini basah kuyup dengan kemungkaran tersebut. Ummat yang menyambut ulangtahun keputeraan Rasul saw mesti bangkit menjiwai dan melandasi perjuangan Rasul saw meledak gelombang perubahan total ke arah peradaban yang diredhai oleh Allah swt. Tidak hanya berselawat dan berarak dengan sampin dan tanjak yang tidak mempunyai nilai sebuah transformasi.