bersih 3.0
Friday, July 23, 2010
isu perpaduan alih isu subsidi
Tiba-tiba sahaja isu perpaduan UMNO-PAS menjadi topik utama dalam seluruh media sejurus selepas kerajaan mengumumkan kenaikan harga barangan 5 dalam 1, atau apa yang diistilahkan sebagai pelarasan subsidi. Persoalan utama apakah benar UMNO berhasrat untuk mencari jalan perdamaian?
Kalau benar. kita harus kembali kepada prinsip Islam: “Bilamana kamu berselisih pendapat, maka kembalilah kepada Allah (al-Quram) dan RasulNya (Hadis ).” Apakah UMNO bersedia membetulkan perjuangannya yang berteraskan kepada fahaman kebangsaan kepada prinsip Islam? Ratusan kali seruan diminta agar UMNO membetulkan seluruh perjuangan mereka kepada Islam, namun ianya hanya menjadi pemanis bicara dalam waktu-waktu terdesak sahaja, selepas itu ia akan hilang ditelan zaman.
Kini di saat rakyat marah dan kecewa dengan tindakan kerajaan UMNO menaikkan harga barangan pengguna, mereka (media perdana) mengalihkan perhatian rakyat kepada isu perpaduan. Isu ini lebih sekadar mengalih perhatian rakyat di saat kemarahan memuncak, dan selepas 3 minggu sebelum sesuatu isu menjadi pendamik, maka keadaan kembali menjadi normal.
Kini kemarahan rakyat kepada UMNO berjaya dikurangkan dengan mengalih tumpuan dan perbincangan kepada isu perpaduan, bahkan media bukan sahaja berjaya mengalih perhatian bahkan berjaya mengalih kemarahan rakyat kepada PAS yang dianggap membelakangkan isu perpaduan. Kali ini isu ini diseliputi dengan kemunculan tokoh ulama’ dan ilmuan Islam bagi meningkatkan tahap tekanan kepada PAS.
Realiti
PAS sebagai sebuah parti politik pembangkang sedang berlawan dengan UMNO sebagai sebuah parti politik pemerintah. Soalnya apakah dua parti ini boleh ‘berdamai;, dan kembali kepada perpaduan umat Islam? Kalau ianya wujud, bermakna salah satu akan dibubar atau digabungkan. Apakah UMNO bersedia membubarkan parti bergabung dengan PAS, kerana PAS tidak akan bersedia membubarkan bagi bergabung dengan UMNO.
UMNO lah seharusnya dibubarkan kerana dasarnya yang bertentangan dengan nilai Islam, kerana bagi PAS kembali kepada kebenaran Islam adalah wajib. Bagi UMNO pula, parti yang kecil (PAS) seharusnya dibubarkan, kerana mengikut kaedah umum yang kecil perlu bergabung dengan yang besar. Tetapi bagi PAS yang tak betul dengan prinsip Islam perlu kembali kepada dasar Islam. Maka hakikatnya tak mungkin kedua parti ini akan melakukan perkara tersebut.
Tambahan pula andaian kalau PAS dan UMNO wujud perpaduan, maka kekuatan orang Melayu akan bertambah. Tinjauan kepada kerusi yang dipertandingkan menunjukkan PAS bertanding di kawasan UMNO hampir keseluruhannya. Ini bermakna kalau UMNO menang, maka kerusi Melayu menang dan begitu juga kalau PAS menang, kerusi Melayu juga dimenangi oleh orang Melayu. Jadi kekuatan orang Melayu hampir sama sahaja dengan perpaduan atau tidak. Ia tetap berada dalam gengaman orang Melayu Islam.
Maka dari berada dalam genggaman Melayu yang dipenuhi dengan rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, penindasan serta pengkhianatan dalam UMNO, baiklah orang Melayu memberi peluang kepada PAS yang akan melaksanakan dasar Islam secara menyeluruh dan mewujudkan keadilan untuk semua