Pages

bersih 3.0

bersih 3.0
DUDUK DAN BANTAH

Tuesday, June 08, 2010

perlu hukuman yang sesuai untuk gejala rasuah


Dewan PEMUDA PAS Pusat (DPPP) amat berharap agar kerajaan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius serta mengambil satu tindakan yang drastik terhadap kes rasuah yang semakin menjadi barah. Ini berdasarkan kepada laporan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman bahawa seramai 418,200 atau 41 peratus penjawat awam dikesan terbabit dengan aktiviti penerimaan rasuah pada tahun lalu. Ini merupakan satu angka yang amat mengejutkan. Kemudiannya antara 1,000 ke 2,000 penjawat awam didapati memalsukan atau cuba mengubah jumlah asal cuti sakit pada sijil cuti sakit.

Rata-rata umumnya tahu bahawa majoriti penjawat awam terdiri daripada orang berketurunan melayu yang beragama Islam. Dimanakah silapnya sehingga mereka tergamak melakukan perbuatan rasuah? Apakah mereka tidak boleh menilai buruk baiknya rasuah itu? Bukankah rasuah satu perbuatan yang berdosa? Ataupun rakyat Malaysia sudah hilang rasa sensitif terhadap rasa dosa dan haram

DPPP mendesak agar SPRM lebih efektif dalam menangani isu ini kerana Malaysia yang diwar-warkan sebagai negara Islam sepatutnya malu dengan hasil kajian ini. Perlunya undang-undang baru berkaitan rasuah digubal dengan segera demi memastikan gejala ini tidak berterusan dan merosakkan serta menjahanamkan ekonomi negara. Kalau negara China boleh menjatuhkan hukuman mati kepada pesalah rasuah, kenapa Malaysia tidak mahu melaksanakan satu undang-undang yang lebih berkesan bagi membasmi gejala ini.

DPPP juga berharap agar SPRM lebih telus dalam menjalankan tugas supaya sebarang kes-kes berkaitan rasuah dapat disiasat tanpa ada rasa prejudis. Dengan ini SPRM dapat menjalankan tugas tanpa sebarang tekanan dari pihak kerajaan mahupun swasta serta tidak dipertikaikan lagi integrtinya oleh rakyat Malaysia



Disediakan oleh





HJ NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI

KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT