Pages

bersih 3.0

bersih 3.0
DUDUK DAN BANTAH

Tuesday, June 15, 2010

berkhidmat hingga ke saat akhir -presiden pas-


Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Ustaz Hassan Shukri adalah merupakan kutubkhanah organisasi dan perlembagaan PAS, terus berkhidmat dengan parti hingga ke saat beliau menemui Tuhan Rabbul Jalil.

Sehubungan itu, katanya PAS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga, ahli PAS, seluruh pendukung dan pejuang Islam yang dirundung kesedihan setelah pulangnya Ustaz Hassan ke rahmatullah pada petang semalam.

Menurutnya, sumbangan almarhum kepada perjuangan Islam di Malaysia dan dunia Islam tidaklah dapat diungkapkan dengan catatan tulisan yang memenuhi penulisan sejarah yang pernah dibukukan.

Beliau menambah, sesungguhnya, nadi perjuangan yang ditiupkan oleh almarhum akan terus berdenyut dalam PAS, merupakan satu contoh kepimpinan parti yang gigih dan istiqamah di kala senang dan susah, untuk memimpin ahli dan seluruh warga parti tanpa mengenal jemu dan lelah.

“Biar pun almarhum meninggalkan kita, tetapi jadikanlah ceramah, taklimat, perbualan beliau sebagai pemberi semangat kepada kita yang tinggal untuk meneruskan perjuangan Islam di muka bumi ini,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Bagi pihak seluruh kepimpinan dan ahli-ahli PAS, sekali lagi beliau merakamkan jutaaan takziah dan berharap seluruh keluarga, sahabat handai, pendukung dan penyokong PAS di serata tempat agar dapat bersabar dengan ketentuan Allah SWT itu.

“Saya berdoa semoga Allah SWT melimpahi rahmat ke atas roh beliau dan mudah-mudahan beliau ditempatkan bersama-sama roh para solihin dengan izin Allah SWT, insya Allah,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Sementara itu, jenazah Ustaz Hassan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selasih 2, Gombak kira-kira jam 10.25 pagi ini.

Sebelum itu, jenazah disolatkan di pekarangan Markas Tarbiah PAS Taman Melewar yang diimamkan oleh Tuan Guru Abdul Hadi yang disertai pimpinan utama PAS termasuk Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama kira-kira 5,000 orang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut serta.