Pages

bersih 3.0

bersih 3.0
DUDUK DAN BANTAH

Saturday, June 19, 2010

ada yang sanggup mati untuk berjuang. -chua jui meng-


Kehilangan tiga darjah kebesaran negeri Johor yang ditarik balik oleh Sultan Johor bukannya satu pengorbanan besar dalam perjuangan menuntut perubahaan demi memastikan Malaysia yang adil untuk semua, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Datuk Dr Chua Jui Meng.

“Ramai daripada rakan seperjuangan saya telah membuktikan keteguhan menuntut perubahaan sehingga terpaksa merengkok dalam penjara.

“Maknanya kehilangan tiga pingat bukanlah satu pengorbanan besar seperti pepatah yang berbunyi 'tanpa seurat benang aku dilahirkan, tanpa seurat benang jua aku akan kembali,” kata Chua pada sidang media di ibu pejabat PKR di Damansara hari ini.

Justeru, katanya dia sebenarnya amat bertuah.

“Saya yakin Umno pastinya kesal dengan tindakan mereka untuk menggangu saya. Sebaik sahaja pengumuman penarikkan tersebut, sokongan rakyat terhadap saya datang mencurah-curah terhadap saya dan Keadilan.”


Sokongan itu menurut Chua membuktikan bahawa rakyat juga menolak politik kebencian yang selama ini menjadi sebahagian daripada kerajaan Umno.

“Mereka (rakyat) juga menzahirkan hasrat untuk menumbangkan kerajaan Umno-BN yang terbukti muflis idea untuk memacu negara ini ke hadapan,”

Sehubungan itu, kata Chua, beliau akan memulang ketiga-tiga pingat yang dikurniakan oleh Almarhum Sultan Iskandar.

Ketiga-tiga pingat tersebut adalah Dato' Paduka Mahkota Johor (DPMJ), Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) dan Pingat Ismail Sultan (PIS).

Katanya, surat rasmi mengesahkan bahawa darjah kebesarannya (DPMJ dan SPMJ) itu ditarik balik diterimanya pada 15 Jun lalu dan tiada alasan berhubung penarikan berkenaan diberikan.

"Saya ada mengingatkan beliau (Abdul Rahim) semasa perbualan telefon bahawa saya juga dianugerahkan PIS dan bertanya adakah beliau turut mahukan pingat itu juga. Beliau berkata ya,"

"Saya dengan berlapang dada akan menghantar balik (pingat itu) kepada istana. Ketiga-tiga pingat itu saya akan pulangkan kepada Istana Johor,"
Chua berkata tindakan berkenaan hanya memperkukuhkan iltizamnya untuk bersama Pakatan Rakyat dan berjuang untuk memastikan negara terus maju dan diselamatkan daripada gejala rasuah yang berleluasa sekarang ini.

“Sepertimana dalam permainan bolasepak, rakyat tahu siapa di antara pemain yang bermain secara jujur atau tidak. Manakala pada tahun 2008, rakyat melayangkan kad kuning, saya pasti pada tahun 2012, rakyat akan melayangkan kad merah kepada Umno-BN,”

Ditanya perasaan beliau susulan penarikan pingat tersebut Chua berkata beliau menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka.

"Saya tidak marah dan saya akan serahkan (kepada Istana). Perjuangan rakyat lebih besar daripada martabat yang saya dapat.

"Saya akan serah pingat itu tapi saya tidak akan menyerah (kalah) untuk membuat reformasi," katanya sambil menambah tidak perlu tergesa-gesa untuk menyerahkan pingat tersebut.

Turut hadir dalam sidang media tersebut, Naib Presiden PKR Sivarasa Rasiah dan barisan kepimpinan Wanita PKR yang turut memberi sokongan kepada Chua berhubung isu terbabit.
Chua yang juga bekas menteri kesihatan pada awal bulan ini dihubungi setiausaha Istana Johor supaya memulangkah semua darjah kebesaran negeri itu.

Beliau juga adalah bekas ahli parlimen Bakri selama empat penggal merupakan naib presiden MCA sebelum meninggalkan parti itu pada 2008 apabila gagal merebut jawatan presiden. Beliau mengganggotai PKR pada 2009.

Chua bagaimanapun masih mengekalkan gelaran Datuk memandangkan beliau menerima dua lagi darjah kebesaran daripada Pahang dan Selangor, masing-masing pada tahun 2002 dan 2003 yang membawa gelaran tersebut.

Selain Chua, tiga lagi individu turut ditarik balik anugerah darjah kebesaran mereka dari Istana Johor iaitu pengembara Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, adik ipar Sultan Johor, Kommander Shaftdean Lufty Rushdan dan peguam Hassan Yunos.