Pages

bersih 3.0

bersih 3.0
DUDUK DAN BANTAH



Saturday, March 13, 2010

pemilihan pbt perlu lebih telus contohi KELANTAN


Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) berpandangan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mahu diadakan di Selangor dan Pulau Pinang belum sesuai dilaksanakan buat masa ini kerana sistem pengendalian pilihan raya itu sendiri masih tidak telus.

Ketua pemuda pas pusat, ust. Nasrudin Hasan ketika bercakap dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemuda PAS Pusat di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut tengah hari ini berkata, Pakatan Rakyat (PR) harus terlebih dahulu memberi fokus kepada pemulihan sistem pilihan raya itu sebelum merancang untuk melaksanakan pilihan raya bagi memilih ahli PBT.

"Pilihan raya PBT belum sesuai dilaksanakan ketika ini kerana sistem pilihan raya itu sendiri masih korup.

"Kita melihat pilihan raya diadakan adalah untuk membasmi korupsi yang berlaku di peringkat PBT kerana pada zaman kerajaan Umno/Barisan Nasional, penyelewengan adalah amalan biasa dan berlaku pemusatan kuasa dan pengumpulan kekayaan di kalangan mereka.

"Pandangan awal diadakan pilihan raya PBT untuk mewujudkan ketelusan dalam PBT dan perlu ada penyertaan rakyat dalam proses pelaksanaan undang-undang di peringkat peraturan PBT.

"Tapi kita masih berada dalam sistem (pilihan raya) yang korup. Jadi fokus perlu diberikan kepada pemulihan sistem itu sendiri," katanya.

Beliau turut mencadangkan agar PR mengkaji secara khusus mengenai pentadbiran Kerajaan Kelantan yang berjaya menunjukkan prestasi yang baik dan bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan.

"DPPP melihat ada satu ruang yang perlu dikaji oleh semua khasnya Pakatan Rakyat termasuk kerajaan negeri, iaitu potensi dan prestasi yang telah dibentuk oleh Kerajaan Kelantan sehingga kita tidak mendengar berlakunya penyelewengan di peringkat PBT negeri itu," katanya.

Selangor dan Pulau Pinang mahu mengadakan semula proses pilihan raya pihak berkuasa tempatan, seperti yang pernah diadakan 43 tahun lalu tetapi dimansuhkan pada 1965.

Nasrudin dalam sidang media sama turut menyatakan rasa kesal terhadap tindakan beberapa Ahli Palimen PR daripada PKR yang keluar parti dan mengisytiharkan diri mereka sebagai bebas.

"DPPP amat kesal dengan tindakan mereka keluar parti kerana ternyata menidakkan amanah yang telah diberikan rakyat. Parti sebelum mengizinkan seseorang itu bertanding, ada mengeluarkan satu surat perjanjian atau bai'ah agar mereka terus bersama dalam perjuangan yang didokong. Apabila mereka melanggar perjanjian itu, bermaksud mereka telah melakukan pengkhianatan yang besar.

"Walaupun yang keluar itu dari PKR, bukan dari PAS, tapi kami tetap memandang serius perkara ini kerana kami bersama-sama dalam PR, tidak kira dari parti mana pun," tegasnya.

Dalam pada itu, Nasrudin turut memberitahu, muktamar DPPP akan berlangsung pada 9 dan 10 Jun depan di Kelantan Trade Center, Kota Bharu, Kelantan.

Turut serta dalam sidang media berkenaan ialah timbalannya, Azman Shapawi Abdul Rani, setiausaha, Kamaruzzaman Mohamed, dan ketua penerangan, Suhaizan Kaiat.