bersih 3.0
Wednesday, March 10, 2010
KES PAKAI SERBAN JALAN RAYA TANGGUH ESOK
Mahkamah Majistret Tumpat semalam menangguhkan perbicaraan membabitkan lima pelajar Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Yusufiah, Pondok Banggol Naim, Pasir Mas yang dituduh menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar semasa ditahan polis dalam satu sekatan jalan raya di Kampung Geting pada 27 April 2008 lalu.
Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat menangguhkan kes tersebut esok, pukul 11.00 pagi.
Pada prosiding membela diri hari ini, mahkamah mendengar keterangan saksi yang diberikan Mudir Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Yusufiah, Tuan Guru Awang Yusuf , 61.
Kelima-lima pelajar semasa ditahan kira-kira pukul 12.00 tengah malam itu adalah dalam perjalanan pulang dari menghadiri upacara sembahyang jenazah di Masjid Jar pukul 10.00 malam sebelum menghadiri ceramah Israk Mikraj di Surau Geting, Tumpat.
Mereka ialah Adli Ab Halim, Afizul Mohamed, Ahmad Hafidz Saari, Che Mohd Nor Che Soh dan Mohd Azam Mohd Arifin.
Mereka dituduh di bawah Kaedah 4 (motosikal topi keledar keselamatan) 1973 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 338/87) yang dibaca bersama Seksyen 128 (1) Akta yang sama.
Peguambela Amir Syafiq Venkadesh Narayanan ketika ditemui di luar mahkamah berkata, kelima-lima pelajar yang ditahan polis itu semuanya menunggang motorsikal dengan masing-masing membawa pembonceng.
Menurutnya, semua penunggang itu tidak memakai topi keledar tetapi sebaliknya hanya memakai ‘serban’ dan berjubah putih.
“Di bawah undang-undang, ada pengecualian di mana seseorang itu tidak perlu memakai topi keledar semasa menunggang motorsikal. Mereka itu ialah (golongan) ‘Haji’, ‘Hajjah’, ‘Lebai’ dan ‘Sikh’. Namun dalam undang-undang itu tidak dijelaskan apakah yang dimaksudkan dengan ‘lebai’, yang (undang-undang itu) terpakai sejak digubal oleh Parlimen.
“Justeru mengikut Kamus Dewan (Edisi Ketiga) dinyatakan bahawa; “Seorang ‘lebai’ itu (ialah) orang yang tahu tentang agama, orang yang mengerja sesuatu yang bersangkutan dengan agama Islam’. Itu saja definisi. Oleh itu, mengikut definisi di sini (adalah) terlalu luas, sesiapa pun boleh digolongkan dalam golongan ‘lebai’, dan untuk membuktikan seseorang itu ‘lebai’ adalah susah,” katanya.
Katanya, kelima-lima OKS (orang kena saman) itu mendakwa bahawa mereka tergolong dalam golongan 'lebai'.
Pendakwaan terhadap kes tersebut telah selesai dan kelima-lima pelajar itu kini dipanggil untuk membela diri.
“Sekarang kita cuba buktikan (bahawa) mereka itu ‘lebai’ dan belum ada apa-apa keputusan lagi (dibuat) oleh kerana perbicaraan kes ini belum selesai,”