Pages

bersih 3.0

bersih 3.0
DUDUK DAN BANTAH

Tuesday, March 23, 2010

kerajaan tidak bersungguh tangani masalah rakyat


Fenomena pembuangan bayi yang berleluasa berlaku kebelakangan ini menunjukkan gejala yang tidak bermoral itu semakin parah dan menggambarkan kegagalan kerajaan yang ada pada hari ini mendidik rakyat menjadi manusia yang berguna dan tahu tentang nilai hidup mereka.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, PAS melihat bahawa kerajaan Umno/BN pada hari ini tidak serius dalam menangani masalah itu yang bukan mencari jalan untuk menutup punca supaya gejala itu tidak berlaku tetapi lebih kepada program yang bersifat menyapu sampah di bawah karpet.

Katanya, program yang dilaksanakan untuk mengatasi masalah akhlak lebih beroreintasikan perniagaan sesama kroni.

Justeru, tambahnya projek Rakan Muda dan PLKN semuanya beroreintasikan untuk mengkayakan kroni sahaja yang akhirnya matlamat tidak tercapai, sebaliknya wang negara lesap begitu sahaja walau terpaksa membelanjakan berbilion ringgit.

Gejala pembuangan bayi amat memalukan masyarakat Melayu kerana mereka mewakili penduduk yang beragama Islam yang secara tidak langsung akan merosakkan imej Islam pada pandangan orang bukan Islam di negara ini.

Sehubungan itu, PAS memandang berat gejala perbuatan durjana itu yang lebih teruk daripada zaman jahiliah sebelum Nabi Muhammad s.a.w. dibangkitkan menjadi rasul.

“Gejala ini amat memalukan negara, kebetulan majoriti yang terlibat ialah orang Melayu Islam,” katanya.

Sepatutnya, kata beliau dalam menangani masalah pembuangan bayi, ia mesti bertindak sebagai mana kaedah Islam iaitu saddu zara’ik menutup pintu kerosakan.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya mengawal pusat hiburan, memperkatatkan peraturan iklan yang mengghairahkan, mewajibkan pelajar Islam memakai tudung, mengawal pergaulan bebas, kempen menutup aurat, kempen jauhi zina dan sebagainya.

“Selain daripada mendidik dan mengawal, maka kaedah yang paling berkesan ialah mesti kembali kepada hukum yang Allah kenakan kerana hukum Allah mempunyai roh iaitu nakalaminallah yang Allah akan melontarkan kegerunan untuk pelaku maksiat menjauhkan perbuatan zina.

“Sudah banyak cadangan yang kerajaan cadangkan, kita tidak dengar satu pun cadangan untuk kembali kepada apa yang diajar oleh Islam,” ujarnya.