bersih 3.0
Friday, January 22, 2010
kaji dengan teliti daftar secara automatik
ALOR SETAR, 22 Jan: Cadangan untuk menetapkan mereka yang berusia 21 tahun didaftarkan secara automatik sebagai pemilih dalam pilihan raya umum yang akan datang perlu dikaji secara terperinci sebelum ia dilaksanakan.
Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, terdapat pro dan kontra dalam mengaplikasikan sistem tersebut.
"Sistem tersebut haruslah lebih telus dan mampu untuk meyakinkan rakyat kerana ia boleh disalah gunakan. Apa yang membimbangkan sekiranya daftar secara automatik ini dilaksanakan maka seseorang itu boleh berpindah ke merata tempat.
"Yang baiknya pula ialah tidak perlu untuk beratur panjang bagi mendaftar kerana ia didaftarkan secara automatik apabila genap berusia 21 tahun," katanya.
Menurut beliau lagi samada sistem tersebut dapat dilaksanakan dengan telus atau sebaliknya belum dapat dipastikan.
Namun begitu adalah menjadi harapan rakyat supaya sistem ini sekiranya dilaksanakan maka kerajaan perlulah bersikap lebih adil dan dapat diterima oleh semua pihak.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri Kedah.
Beliau mengulas cadangan Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmad Nidzamuddin Sulaiman yang mencadangkan supaya masalah golongan muda yang genap 21 tahun tidak mendaftar diatasi melalui sistem daftar secara automatik ini.