Pages

bersih 3.0

bersih 3.0
DUDUK DAN BANTAH

Monday, December 14, 2009

zunar sedarkan masyarakat


KUALA LUMPUR, 14 Dis: Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin menyanjung tinggi usaha kreatif yang dilakukan Zunar dan pasukan kartunisnya dalam membangkitkan kesedaran rakyat di negara ini.

Nizar berkata, pendekatan karya berbentuk kartun merupakan salah satu langkah dalam usaha mengubah pemikiran rakyat untuk menerima keadilan dan menolak kezaliman.

"Kami dari Pakatan Rakyat sudah tentu menyanjung kerja baik yang dibuat oleh Zunar dan rakan-rakannya dan juga gabungan-gabungan lain yang menggunakan pendekatan kartun ini.

"Ini merupakan langkah pertama dalam gelombang kita untuk mengubah masyarakat untuk menerima keadilan dan menolak kezaliman," katanya sewaktu berucap di Majlis Pelancaran "Perak Darul Kartun" di Pejabat Khidmat Rakyat DUN Bukit Antarabangsa, Pusat Bandar Taman Melawati, dekat sini, petang semalam.

Nizar yang mengagumi karya yang dihasilkan pasukan kartunis Zunar itu turut berharap agar usaha yang dilakukan itu dapat membantu Pakatan Rakyat sebagai "Government In Waiting".

"Saya berdoa mudahan-mudahan pendekatan yang dibuat oleh Zunar dan rakan-rakannya akan membantu memudahkan Pakatan Rakyat untuk terus ke Putrajaya.

"Saya juga berdoa supaya Allah memberikan ransangan kreativiti kepada mereka untuk menghasilkan karya yang tulen, bukan dicedok dari mana-mana sumber," katanya lagi.

Nizar juga menyifatkan lukisan-lukisan dalam "Perak Darul Kartun" itu sebagai "kena dengan situasi" yang berlaku di Perak ketika ini iaitu rampasan kuasa oleh Umno BN.

Sementara itu, Zunar dalam ucapannya berkata, hasil karya pasukannya itu merupakan satu bentuk dimensi baru dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan.

"Apa yang kami buat ini merupakan dimensi baru dalam perjuangan ini. Jika ahli politik kita berjuang melalui ceramah dan perbahasan di parlimen, kami pula berperanan dalam perjuangan melalui karya kami," katanya.

Zunar juga menegaskan, para kartunis harus menyatakan pendirian mereka berhubung apa jua krisis yang melanda negara ini melalui karya mereka.

"Kami para kartunis berpendirian, kartunis-kartunis di negara ini tidak boleh berdiam diri dalam setiap isu dan krisis yang melanda negara. Jika orang lain seperti sasterawan negara, seniman negara dan ahli politik bangun menyuarakan kebenaran, mana mungkin kartunis boleh berdiam diari," tegasnya.

Beliau turut menyifatkan pasukan kartunisnya sebagai berbeza dengan kartunis-kartunis lain kerana mereka melukis ikhlas dari hati dan berani menyatakan kebenaran, bukan untuk mengejar wang ringgit semata-mata.

"Saya nyatakan pasukan kartunis saya berbeza dari kartunis lain kerana mereka berkarya dan melukis ikhlas dari hati. Tidak seperti kartunis lain yang hanya mahukan wang. Ada kartunis yang popular, tapi kuat mengampu.

"Bila berkarya dengan hati yang iklhlas, kita tidak akan terjejas dengan apa-apa ugutan," ujarnya.

Majlis pelancaran berkenaan turut dihadiri oleh ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali yang juga Naib Presiden PKR, ADUN Hulu Klang, Saari Sungip, dan ADUN Batu Caves, Amirudin Saari serta lebih seratus orang penyokong dan pencinta kebebasan bersuara.

Nizar sebagai tetamu khas turut melancarkan Perak Darul Kartun disusuli dengan majlis tandatangan beliau, ADUN-ADUN serta Zunar sendiri ke atas muka depan buku berkenaan.

Majlis gamat seketika dengan kehadiran maskot "katak berwarna biru dan berlambangkan wang" dan Nizar diminta memukul katak berkenaan sebagai simbolik kepada penolakan tindakan lompat parti dan rasuah yang diamalkan Umno BN.

Selepas majlis tandatangan, Nizar bersama tiga tetamu yang lain dihadiahkan t-shirt "Gedung Kartun" dan mereka terus menyarungkannya ke badan masing-masing.

Hadirin yang hadir tadi juga berpeluang mendapatkan buku-buku dan t-shirt terbitan Sepakat Efektif di gerai yang dibuka serta mendapatkan autograf Nizar dan Zunar.

Turut bersama Zunar petang tadi ialah kartunis Jonos, (Nor Azlin Ngah), Orang-orang (Azlan Isa), Enot serta beberapa lagi kartunis lain.

"Perak Darul Kartun" adalah komik terbaru hasil karya terbaru Zunar bersama pasukan kartunisnya yang terdiri dari Ronasina (Mohd. Affandi Ramli), Jonos (Nor Azlin Ngah), Art (Azhar Saad).Orang-orang (Azlan Isa) dan Naza (Nazruddin Abu Bakar).

Ianya sebagai penerbitan berterusan syarikatnya Sepakat Efektif selepas permit penerbitan Gedung Kartunnya mempunyai masalah dengan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN).

PDK mempunyai ketebalan 80 muka surat tidak termasuk kulit muka (dengan penambahan 12 muka surat berbanding Gedung Kartun) dan dijual dengan harga RM10 setiap naskhah.

Turut menyumbang karya dalam komik tersebut adalah Haili, Oly, Roy, Enot, AJ, Warih, Kidol, Madsein, Kawe, Ubi Lepih, Nur, Fahmi dan Buzu.

Manakala penulis penyumbang/kolumnis ialah Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, penulis, Hishamuddin Rais, Pyanhabib, Rahmat Haron, Pusparos dan Benludin.

Seperti juga Gedung Kartun, PDK menampilkan karya-karya kartun dan rencana yang mengkritik pedas kebobrokan, salah-guna kuasa, rasuah penguasa dengan sepuluh muka surat pertama ditumpukan kepada isu 'rampasan kuasa' di Perak oleh kerajaan BN.

Selain itu ianya juga memuatkan ruangan khas watak pemimpin negara bernama "Datuk Nazak", slot "Negaraku" dan tiga muka surat karya Enot bertajuk "Nostalgia 98" yang mengimbas kembali sejarah ketika gelombang reformasi tercetus.

Ruangan "Selangor Tanahairku" diteruskan untuk memberi publisiti tentang dasar-dasar kerajaan Pakatan Rakyat dengan pelbagai program kebajikan yang telah dijalankan.