Pages

bersih 3.0

bersih 3.0
DUDUK DAN BANTAH

Friday, December 11, 2009

jangan main sentimen agama & kaum!!!


KUALA LUMPUR, 11 Dis: Pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO) diharap menjaga tindakan dan kenyataan mereka agar tidak disalah tafsir sehingga mencetuskan sentimen agama dan perkauman.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad dalam satu kenyataan yang juga turut disiarkan di laman blog beliau juga menyeru, semua pihak meghormati hak dan kebesan setiap agama dan kaum seperti dijamin perlembagaan Malaysia.

"Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyeru agar semua pemimpin politik dan NGO di negara ini agar tidak mencetuskan sentimen yang boleh ditafsirkan sebagai menyentuh sensitiviti mana-mana agama dan kaum yang tinggal dalam negara kita ini.

"Kita juga menyeru agar semua pihak menghormati hak dan kebebasan setiap agama dan kaum yang dijamin dalam Perlembagaan Negara bagi mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat," katanya.

Kelmarin, Nga Kor Ming mempersoalkan peruntukan kerajaan sebanyak RM748 juta untuk membina 611 buah masjid bagi tempoh 2000 hingga 2008 dan pada masa sama menyatakan kerajaan gagal membina rumah ibadat agama lain.

Tindakan Ng itu telah menimbulkan pelbagai reaksi banyak pihak antaranya Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali yang berpendapat tindakan mengungkit perkara berkenaan sebagai biadab dan menimbulkan sentimen perkauman.

Semalam Nga menegaskan kenyataannya berhubung isu peruntukan kerajaan dalam membina rumah ibadat Islam dan bukan Islam telah diputar belit dan dijadikan bahan menghasut sentimen perkauman oleh sesetengah media.

Jelas Nga, dalam kenyataan kelmarin beliau hanya merujuk kepada jawapan Menteri di Jabatan Prdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bahawa kerajaan memperuntukkan RM748.26 juta membina dan menyelenggara 611 buah masjid tetapi satu jumlah kecil, iaitu RM9 juta diagihkan untuk tujuan agama bukan Islam, iaitu 1.2 peratus sahaja.

Menurut Idris, PAS menghormati hak umat Islam dan penganut agama lain sesuai dalam Artikel 11, tentang Kebebasan Beragama dalam Pelembagaan Persekutuan.

Perlembagaan katanya dengan jelas menetapkan setiap penganut agama, berhak mengurus tadbirkan agama masing-masing tanpa menganggu kepentingan penganut agama lain.

"PAS menasihatkan agar semua pemimpin politik dan NGO dapat bertenang dan tidak menjadikan isu ini sebagai alasan untuk menidakkan hak setiap penganut agama di negara ini.

"Sama ada mereka Islam atau tidak, jika kita ada rasa hormat sebarang masalah boleh diselesaikan," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menyokong kenyataan Ahli Parlimen Taiping berkaitan kegagalan kerajaan pusat dalam pengagihan dana dan bantuan secara berkesan kepada pelbagai agama di negara ini.

"Sebenarnya adalah satu dari bukti nyata bahawa kerajaan pimpinan Umno dan Barisan Nasional selama ini gagal dalam memberikan penjelasan terhadap kaedah yang dilaksanakan dalam isu pemberian dana dan bantuan kepada rakyat pelbagai agama dan kaum dalam negara ini," katanya.

Hanya Islam katanya mampu memberikan keadilan pada semua dan menolak sebarang tindakan menzalimi penganut agama lain.

Sehubungan itu beliau berharap agar isu mengenai peruntukan terhadap Institusi Islam tidak menjadi bahan pertikaian dan polemik kerana ianya boleh diselesaikan melalui kaedah perundingan dengan mengambil contoh pentadbiran Kelantan sebagai model rujukan.

"PAS juga tidak menolak tuntutan penganut agama lain bagi mendapatkan hak mereka secara adil dan kita yakin perkara ini boleh dibincangkan secara bijak dengan mengambil contoh terhadap apa yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan PAS di Kelantan selama hampir 20 tahun ini," katanya.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharun juga membuat seruan yang sama.

Beliau berkata, peruntukan kerajaan untuk membina masjid untuk melahirkan masyarakat penyayang kerana orang yang pergi ke masjid akan mendapat didikan yang baik untuk menjadi anggota masyarakat yang baik dan penyayang.