Pages

bersih 3.0

bersih 3.0
DUDUK DAN BANTAH

Wednesday, November 25, 2009

BOIKOT MEDIA YANG MEMBURUKKAN PEMIMPIN PAS


KOTA BHARU, 25 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyeru rakyat Kelantan khasnya dan Malaysia amnya supaya bertindak proaktif secara besar-besaran memboikot media massa arus perdana termasuk Mingguan Malaysia kerana laporannya kian hebat menyerang kepimpinan PAS khususnya di negeri ini.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Ahmad Baihaki Atiqullah dalam satu kenyataan medianya tengahari ini melahirkan kekesalan yang teramat sangat terhadap sikap media massa arus perdana yang melaporkan berita berunsur khabar angin dan spekulasi.

“Kejadian terbaru berita muka hadapan Mingguan Malaysia 22 November 2009 yang memuatkan berita “Husam Letak Jawatan?”. Memuatkan berita berunsur provokasi dan murahan dengan hanya memetik dari sumber yang didakwa sebagai (sumber) ‘dalaman’, sedangkan pada hakikatnya isu berkenaan tidak pernah timbul dalam mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan.

“DPPNK merakamkan kekesalan yang teramat sangat terhadap akhbar tersebut, lantaran tindakan media massa berkenaan melanggar etika kewartawanan apabila tidak melaporkan berita yang benar dan mempunyai integriti, bahkan ‘melacurkan’ dunia kewartawanan serta memalukan pengamal kewartawanan umumnya,” katanya.

Ahmad Baihaki yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri menyifatkat akhbar berkenaan sebagai melampau dan keterlaluan di dalam mencari publisiti murahan serta bertujuan melariskan jualan akhbarnya.

“Ini bukan kali pertama kepimpinan negeri Kelantan khususnya diserang dengan laporan sedemikian, bahkan sebelum ini Menteri Besar Kelantan Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri difitnah dengan isu ‘Tidak Masuk Syurga’ dan ‘Islam Plastik’ di mana terbukti akhirnya (diakui mereka) sebagai salah lapor dari akhbar.

“Dengan ini DPPNK menyeru supaya boikot besar-besaran terhadap akhbar berkenaan dilakukan.

“Ini sebagai hukuman daripada rakyat dan pengajaran kepada mereka bahawa rakyat Kelantan khususnya dan Malaysia amnya adalah bangsa yang bertamadun dan cerdik dalam membezakan yang mana (story berdasarkan) fakta dan (yang mana pula berdasarkan) khabar angin,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Demit

Selain dari itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Demit menyatakan bahawa DPPNK menyambut baik keputusan Menteri Besar semalam berhubung dengan kontroversi yang melanda Kerajaan Negeri mutakhir ini.

“DPPNK berharap dengan keputusan itu, segala kontroversi dapat dipadamkan dan jentera Kerajaan Negeri dapat ditumpukan bagi menjaga kebajikan rakyat,” katanya.