Pages

bersih 3.0

bersih 3.0
DUDUK DAN BANTAH



Tuesday, November 24, 2009

aktivis mahasiswa bantah penahanan muhammad saufi dan pelajar lain


KUALA LUMPUR, 24 Nov: Aktivis mahasiswa Universiti Malaya semalam membantah penahanan Muhammad Saufi Jelani berhubung siasatan kes menconteng perkataan 'bini puaka' di Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Saufi ditahan sebaik sahaja selesai menjalani peperiksaan akhir semesternya Khamis lepas.

Gabungan mahasiswa Universiti Malaya itu disertai oleh beberapa persatuan antaranya Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) dan Komuniti Mahasiswa Prihatin (KMP).

Dalam sidang media yang dibuat di hadapan bangunan peperiksaan UM itu pagi semalam, wakil PMIUM, Mohd Sabri mendakwa, penahanan ahli PMIUM tersebut sebagai tidak sah berikutan menyabitkannya dengan isu 'kepala babi' yang diletakkan di surau Akademi Pengajian Islam pada pilihan raya kampus lepas.

“Kita dimaklumkan yang dia (Saufi) ditahan bagi membantu siasatan kes contengan dinding di API, namun (sebaliknya) beliau ditahan kerana isu kepala babi.

“Sedangkan isu itu telah pun ditutup dan kita (mahasiswa) langsung tidak terlibat dalam perkara tersebut,”jelasnya.

Pengerusi Komuniti Mahasiswa Prihatin (KMP), Mohd Syahid Mohd Zaini mengecam tindakan pihak polis yang dianggap tidak rasional di dalam menjalankan tugas.

Beliau mengambil contoh tindakan polis yang tidak profesional menahan mahasiswa, dalam keadaan ketika itu sedang berlangsungnya peperiksaan akhir semester.

Penahanan tersebut tegasnya lagi, mengganggu emosi dan tumpuan Saufi dalam menjalani peperiksaannya.

Gabungan mahasiswa itu juga mendesak agar pihak polis dan kerajaan memberhentikan segera penindasan terhadap mahasiswa melalui tangkapan serta akta-akta yang ‘kejam’.

“AUKU misalnya, ia akta yang menyekat hak mahasiswa daripada bersuara dan menyatakan pandangan,” ujar Syahid.

“Sebab itu tidak mustahil kesannya, mahasiswa bertindak radikal kerana hak mereka diganggu,” kata beliau lagi sambil merujuk isu yang berlaku baru-baru ini.

Sidang media itu turut dihadiri oleh wakil PMIUM Izzuddin Helmi Bin Mohd Zaini, Timb. Pengerusi Komuniti Mahasiswa Prihatin (KMP) Mohd Amiruddin Mohd Suhaimi, jurucakap KMP Mohd Taufiq Abdul serta wakil MPMUM, Mohd Aizat Salleh.

Sidang media di hadapan Bangunan Peperiksaan (BP) Universiti Malaya berkenaan adalah bertujuan memperingati insiden penangkapan Saufi yang didakwa mereka sebagai ‘zalim’ selain membantah penahanan Saufi yang ditangkap di bangunan tersebut ketika musim peperiksaan sedang berlangsung di Universiti Malaya.