Pages

bersih 3.0

bersih 3.0
DUDUK DAN BANTAH

Tuesday, July 26, 2011

raja perlu penasihat berani menyatakan kebenaran


Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah bertitah adalah amat penting Raja-Raja disembah maklumkan secara berterus terang mengenai cerita sebenar dan sama sekali tidak dipagari oleh mereka yang berkepentingan diri sehingga Raja tergamak diperalatkan. "Raja wajib memiliki kumpulan penasihat yang jujur lagi ikhlas, kumpulan penasihat yang peka kepada denyut jantung dan denyut nadi warga, kumpulan penasihat yang tegas lagi berani menyatakan yang benar," titah baginda dalam Wacana Ilmu Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang bertema "Peranan Institusi Raja Melayu Dalam Memupuk Perpaduan Warga" di Shah Alam hari ini. Menurut baginda, Raja sendiri hendaklah bersedia menerima hakikat dan kenyataan, betapa pahit dan berat sekalipun, kerana keadilan tidak mungkin dapat ditegakkan tanpa kebenaran. Raja Nazrin Shah bertitah bahawa Raja tidak dapat berperanan secara bermakna sekiranya Raja sentiasa dilukiskan dengan sebaik-baik gambaran. "Ia bukan sahaja melukiskan gambaran palsu tetapi telah tidak bersifat adil kepada Raja, menidakkan hak Raja menyempurnakan tanggungjawab secara saksama untuk membolehkan peranan Raja diterima baik oleh warga," titah baginda. Baginda bertitah adalah benar persaingan politik semakin sengit dan juga benar isu agama dan isu kaum amat sensitif tetapi persaingan politik hanyalah mengambil kesempatan memperjudikan isu agama dan isu kaum serta mengeksploitasi sentimen ketidakpuasan hati rakyat yang lebih rencam. "Dalam setiap perselisihan dan dalam segala perbalahan tidak mungkin satu pihak betul semua dan tidak mungkin satu pihak salah semua tetapi kaedah mencarikemenangan mutlak dan kaedah mahu menjatuhkan lawan telah mengetepikan elemen adab, elemen adat, elemen moral dan elemen agama," titah Raja Nazrin. Baginda bimbang jika suhu politik semakin panas, impian untuk membina perpaduan akan menemui mimpi ngeri yang sangat menakutkan. Oleh itu baginda bertitah perlu ada institusi yang berwibawa untuk menurunkan suhu politik yang semakin panas, institusi yang kekal berkecuali dan institusi yang dapat diterima untuk membantu menenangkan suasana. Raja Nazrin bertitah untuk itu amatlah penting dipastikan Raja kekal dalam disiplin yang berada di atas polemik politik tetapi Raja juga ada amanah, ada tanggungjawab untuk memastikan negara aman dan warga hidup secara rukun secara damai. "Tetapi Raja tidak memiliki lampu ajaib yang boleh memupuk perpaduan dalam sekelip mata apatah lagi jika suasana sudah terlalu berkecamuk," titah baginda. Menurut Raja Nazrin, sebaik peranan kepada Raja adalah untuk memberi nasihat secara tertutup kepada pelbagai instrumen negara mengenai tanggungjawab masing-masing supaya Raja tidak disalahtafsir mencampuri secara langsung urus tadbir negara. Baginda bertitah bahawa perpaduan tidak akan berjaya dipupuk dalam situasi politik yang tidak stabil dan tidak matang selepas pilihan raya umum ke-12 di mana perlu ada penerimaan kepada realiti dan pemahaman bahawa tuntutan melakukan perubahan kepada yang lebih baik adalah lumrah alam. "Perpaduan memerlukan kesediaan melakukan pengorbanan, menerima kekalahan dengan reda dan merayakan kemenangan dengan keinsafan," titah baginda. Raja Nazrin Shah juga bertitah bahawa dalam dinamik politik yang sedang berlaku, adalah bertambah penting Raja selaku tonggak kestabilan dan payung penyatuan rakyat, bersifat berkecuali supaya semasa berlakunya krisis, Raja berupaya memberikan nasihat, teguran dan pandangan yang mencerminkan keadilan tanpa memihak. "Payung kedaulatan negara ini (Raja) jangan sama sekali dirosakkan, jangan sama sekali ditiriskan, jangan hanya dicari bila panas terlalu terik atau hujan sudah turun. "Payung negara ini adalah lambang kedaulatan warga, lambang kedaulatan negara, memberi teduh di hari panas, menangkis air di hari hujan," titah baginda.