Pages

bersih 3.0

bersih 3.0
DUDUK DAN BANTAH



Thursday, September 30, 2010

mansuhkan btn dalam negara.


Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menggesa agar Biro Tata Negara (BTN) yang menjadi gelanggang untuk meniupkan api perkauman di negara ini dimansuhkan.

Mahfuz berkata demikian ketika diminta memberikan pandangan mengenai laporan sebuah portal online yang menyiarkan kenyataan berbaur perkauman oleh Timbalan Pengarah BTN, Hamim Husin dalam satu sesi agensi itu.

Hamim didakwa melabelkan rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India sebagai 'si mata sepet’ dan ‘si kaki botol’ yang turun naik Batu Caves semasa sesi tertutupnya dengan Puteri Umno, Isnin lalu.

BTN yang asalnya ditubuhkan pada tahun 1974 itu sudah tidak diperlukan lagi kerana gagal melaksanakan visinya memupuk semangat patriotisme dan nilai-nilai murni serta menjadikan rakyat setia kepada negara.

"Sudah sampai masanya kerajaan memansuhkan BTN bukan sekadar dirombak, kerana agensi itu telah disalahgunakan untuk meniup api perkauman di dalam negara ini dan ianya bukan perkara baru tapi telah berlaku sejak awal penubuhannya.

"Perlaksanaan BTN ini bermotif untuk menyemarakkan semangat Melayu sama seperti yang dibawa Umno dan ini jelas bertentangan dan menyimpang dari dasar serta matlamat rukunegara iaitu mewujudkan perpaduan di antara kaum dalam negara kita,"

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak harus dipertanggungjawabkan dalam isu itu memandangkan BTN berada di bawah Jabatan Perdana Menteri yang diterajuinya.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar turut berkongsi pandangan yang sama berkaitan isu tersebut dan menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang boleh menggugat kestabilan dan perpaduan kaum dalam negara ini.

"Belum pun reda isu pengetua rasis, timbul pula isu Timbalan Pengarah BTN rasis. Kerajaan harus ambil tindakan segera menyekat isu-isu perkauman seperti ini kerana kita tidak mahu perpaduan kaum tergugat.

"Dan jangan pula nanti kerajaan kata, tak ada kuasa untuk ambil tindakan ke atas pegawai kerajaan bergred tinggi seperti apa yang berlaku ketika timbul isu pengetua sekolah baru-baru ini,"

Monday, September 27, 2010

AL-FATIHAH


Adun Galas, Chek Hashim Sulaima, 47, kembali ke rahmatullah di Pusat Rawatan Islam Kampung Baru, di sini, kira-kira jam 4.30 petang ini.

Allahyarham yang mengidap penyakit barah di bahagian paru-paru menjalani rawatan di hospital berkenaan sejak hampir seminggu lalu.

Sebelum ini beliau menjalani rawatan perubatan tradisional Cina di Serdang.

Allahyarham dikesan menghidap penyakit berkenaan sejak dua tahun lalu dan pernah mendapat rawatan beberapa bulan di China.

beliau menjalani rawatan di Orient Hospital Guanzhong pada ramadhan tahun lalu. Sebelum daripada itu Chek Hashim mendapat rawatan awal di The First People's Hospital juga di Guanzhong.

Keadaan kesihatannya agak serius sebelum daripada itu. Kepulangannya daripada menjalani rawatan di China tahun lepas disambut wakil-wakil rakyat dan penduduk Gua Musang.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Mac lalu beliau turut hadir. Bagaimanapun pada persidangan Jun lalu beliau mohon bercuti.

pada Julai lalu, Adun Galas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu.

Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan, petang 26 Julai lalu selepas tiga hari pulang dari menjalani rawatan kemoterapi di sebuah hospital di China.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mewakili seluruh kepimpinan dan ahli PAS seluruh negara merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Che Hashim dan rakyat di Dun Galas di atas pemergian Almarhum.

"Sesungguhnya Almarhum adalah seorang yang gigih menjalankan tugas dan komited dengan perjuangan. Marilah sama-sama kita berdoa agar roh beliau dirahmati oleh Allah,"

Saturday, September 25, 2010

pemuda pas ajak mahathir bedebat -kharul faizi-


Dewan Pemuda PAS Pusat menyifatkan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menepati teori sendiri iaitu "Melayu mudah lupa" apabila menyatakan Melayu hilang kuasa di bawah Pakatan Rakyat.

Sambil menyelar tindakan Mahathir yang cuba meniupkan api perkauman itu, Setiausaha DPPP Khairul Faizi Ahmad Kamil turut mempersoal akan kebenaran kenyataan tersebut.

"Jika diteliti kembali akan kenyataan beliau seolah-olah kenyataan tersebut dikeluarkan oleh mereka yang ‘tidak cerdik’ dan bukannya datang daripada seorang yang dianggap tokoh negarawan.

"Fakta-fakta yang diberikan menunjukkan beliau sememangnya mengesahkan teori beliau sendiri iaitu Melayu Mudah Lupa,"

Utusan hari ini menyiarkan kenyataan Mahathir yang mendakwa kuasa politik Melayu akan hilang sekiranya Pakatan Rakyat yang digelarnya parti pembangkang mendapat kuasa.

Mahathir juga mengambil contoh negeri Perak ketika dibawah Pakatan Rakyat.

Beliau mendakwa, walaupun menteri besarnya iaitu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin Melayu dari PAS, tetapi kerajaan itu dikuasai oleh DAP.

Pemuda PAS bagaimanapun mengajak Mahathir melihat secara waras negeri Kelantan yang diperintah PAS yang kini sudah lebih 20 tahun.

"Berapa inci tanah orang Melayu yang PAS telah khianati? Sedangkan kalau dilihat ekonomi Melayu di Kelantan lebih hebat jika dibandingkan dengan negeri yang diperintah oleh Umno BN.

"Terbaru, sebanyak 118 projek di Kelantan telah dibekukan sejak Rancangan Malaysia ke-6 diperkenalkan pada tahun 1991...

"Bukankah Kelantan yang majoritinya terdiri daripada masyarakat orang Melayu? Mengapa dihalang pembangunan negeri yang majoritinya orang Melayu jika Umno benar-benar memperjuangkan Melayu?"

Beliau juga memberi contoh sewaktu Terengganu diperintah PAS pada tahun 1999.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menjadi Menteri Besar negeri itu jelasnya telah memberi tanah kepada orang Melayu namun dirampas kembali setelah Umno berjaya menawan semula Terengganu pada tahun 2004.

"Apakah ini tidak khianat namanya?"

Di Perak pula ketika 10 bulan Pakatan Rakyat memerintah, 3,000 ekar tanah diberikan kepada orang cina manakala orang melayu mendapat 7,000 ekar.

"Jika Umno menuduh PAS boneka DAP, mengapa tanah yang dipohon oleh Tuan Guru Hj.Abd.Latif (Pondok Pak Teh Kroh, Grik Perak) yang dipohon sejak 1996 telah diluluskan oleh Exco PR pada tahun 2008 (setelah 12 tahun) sebanyak 45 ekar.

"Jika Datuk Seri Nizar adalah merupakan boneka DAP, pastinya permohonan beliau ditolak,"

Beliau turut mengemukakan beberapa kes yang didakwa pengkhianatan Umno kepada Melayu berhubung isu tanah antaranya:

- 22,000 ekar tanah kerajaan digadai kepada gergasi KLK (KL Kepong) di Lekir, Manjung. - 5,000 ekar di Bruas yang mana 1,500 ekar kepada MCA di Bandar Baru, Kampar (UTAR)

- 200 ekar Tanah Rizab Melayu (TRM) digadai kepada Perak Hanjoong (sekarang YTL) di Padang Rengas, Kuala Kangsar (dekat sebelah Lebuhraya PLUS)

- Pada tahun 1990 seramai 80 penduduk di Pantai Chenang, Langkawi yang tinggal di atas TRM dihalau untuk membina Pelangi Beach Resort

- Sebanyak 930 hektar TRM di Kampung Mambau, N. Sembilan telah diambil untuk Projek Seremban 2 pada 1990.

- Juga pada tahun yang sama, 600 orang yang tinggal di situ, 26,000 hektar TRM di Tanjung Langsat – Tanjung Piai, Johor diambil oleh Kuok Brother Collabratioan UEM

"Hakikatnya Umno menjadi punca tanah rezab melayu banyak tergadai terutamanya dizaman Tun Mahathir sewaktu menjadi PM dahulu. Ini baru isu tanah. Belum lagi bab saham bumiputera yang tinggal 2 bilion daripada 52 bilion, isu rasuah dan salah laku pemimpin,"

Sehubungan itu, pemuda PAS turut mencabar Mahathir untuk berdebat secara terbuka siapa sebenarnya pengkhianat Melayu.

Friday, September 24, 2010

melayu ke arah hilang kuasa -naib presiden-


Data ekonomi Melayu membuktikan bahawa bila-bila masa sahaja orang-orang Melayu akan kehilangan kuasa dan suara jika Umno dibiarkan terus berkuasa, kata Naib Presiden PAS (Datuk Mahfuz Omar)

"Pada masa ini pun ramai orang Melayu terutama di luar bandar yang hilang kuasa dan suara kerana kemiskinan dan dijerat oleh hutang kepada tauke-tauke.

"Antara sebab perkara tersebut berlaku ialah apabila kekayaan negara tidak digunakan dengan saksama dan bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat keseluruhannya tetapi lebih banyak yang dibolot oleh kroni-kroni Umno

diburukkan pula dengan kerakusan parti perasuah mencari habuan untuk kepentingan peribadi termasuk merasuah sesama sendiri bagi mencari sokongan untuk berkuasa.

"Para pemimpin parti perasuah pula telah lama hilang kuasa dan suara kepada tauke-tauke yang yang menambat mereka dengan rasuah.

"Bukan setakat hilang kuasa, akibat ditambat rasuah, mereka juga merelakan dasar affirmatif yang sepatutnya membantu orang-orang Melayu diperalatkan untuk menimbunkan lagi kekayaan tauke-tauke yang menjadi tuan-tuan mereka.

lebih ramai orang Melayu akan menyedari bahawa mereka menjadi mangsa penipuan Umno jika pendedahan data ekonomi Melayu menunjukkan kedudukan orang Melayu masih terkebelakang.

"Pemimpin Umno sendiri yang mengakui bahawa data dan statistik terkini tentang pencapaian ekonomi orang Melayu akan menunjukkan kedudukan orang Melayu masih terkebelakang.

"Dengan pengakuan itu, nyatalah orang-orang Melayu telah 53 tahun menjadi mangsa penipuan Umno yang tidak henti-henti berlakon dan berlagak sebagai pembela Melayu.

Beliau menyifatkan data tersebut sebagai bukti yang terang dan nyata tentang ketiadaan iltizam untuk Umno membantu orang-orang Melayu.

Mahfuz mengingatkan orang-orang Melayu bahawa 53 tahun adalah tempoh yang luar biasa lama untuk terus membiarkan diri mereka ditipu.

"Dasar affirmatif untuk membantu orang Melayu yang dilaksanakan kira-kira 40 tahun lalu juga ternyata gagal jika data dan statistik terkini tentang pencapaian ekonomi orang Melayu menunjukkan kedudukan mereka masih terkebelakang.

"Persoalannya, adakah orang-orang Melayu mahu menunggu 40 atau 53 tahun lagi di bawah cengkaman Umno dan terus berangan-angan suatu hari nanti pencapaian ekonomi orang Melayu tidak lagi terkebelakang?"

Orang-orang Melayu, tidak lagi memerlukan kerajaan yang tidak berpijak di bumi nyata dengan pelbagai akronim dan pertunjukan angka bertrilion-trilion tanpa perubahan yang fundamental untuk menjamin kedaulatan undang-undang dan peraturan ke atas semua pihak, walaupun di kalangan parti pemerintah.

Sunday, September 19, 2010

dewan pemuda pas negeri lawat keluarga kehilangan anak


Kehilangan satu pasangan kembar dan seorang rakan mereka pada 2 syawal yang lalu masih tidak dapat di kesan.
atas keperihatinan pas kawasan kampar melalui dewan pemuda pas kawasan kampar telah diadakan satu majlis di rumah keluarga mereka di taman sentosa bandar baru kampar.
turut hadir 2 wakil dewan pemuda negeri perak terdiri dari 2 exco melawat keluarga remaja2 terbabit.
dewan pemuda dengan kekuatan dan kemampuan yang ada akan cuba membantu sedaya yang mungkin, malah poster gambar seperti yang di pegang telah pun di sebar ke semua kawasan di seluruh perak untuk membantu pencarian 3 remaja yang hilang tanpa khabar berita.






sebelah kanan ibu kepada ibu kepada nurul ashiqin dan nurul ain manakala sebelah kiri ibu kepada suhaily.



saguhati daripada pemuda yang merupakan sebuah buku karya ust harun din untuk panduan amalan seharian ibu- bapa kepada remaja tersebut kembali ke pangkuan mereka.
sesunggunhnya doa kedua ibu bapa adalah lebih mustajab.


majlis di akhiri doa...


wakil dewan pemuda pas negeri perak yang hadir .
memegang poster yang diketuai 2 exco dppn( ust abd fatah awang dan sedara riduan).
poster ini dicetak oleh dewan pemuda dan untuk di iklan kan di setiap pelusuk negeri perak bagi yang menjumpai mereka boleh terus menelefon keluarga dan balai polis berdekatan, sila rujuk iklan di atas.

Saturday, September 18, 2010

media tidak harus sokong demokrasi `mengarut`


Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata
demokrasi di Malaysia berat sebelah dan tidak sepatutnya disokong pengamal media termasuk kaum wartawan.

demokrasi yang berlangsung di negara ini adalah ‘mengarut’ apabila teori demokrasi itu sendiri tidak sama dengan amalan.

Justeru beliau yang juga Mursyidul Am PAS menambah, kaum wartawan tidak wajar memberi sokongan kepada Umno Barisan Nasional.

“Demokrasi di Malaysia memang langsung berat sebelah.

“Perdana Menteri Malaysia tidak datang merasmikan jalan dan Jambatan Sultan Yahya Petra, mereka tidak mengundang Menteri Besar, tahu-tahu jalan dan jambatan itu sudah pun selesai dibuka.

“Semasa Pak Lah menjadi Perdana Menteri dahulu pun, dia tidak mengundang Menteri Besar pada majlis rasmi yang diadakan. Ini demokrasi apa seperti itu, demokrasi mengarut. Belajar di universiti lain, yang buat lain.

“Oleh itu tidak patut kaum wartawan menyokong Umno, tidak patut sokong barang salah. Biar mapus gi lah. Tidak patut wartawan sokong BN,” katanya pada Majlis Dialog Menteri Besar Bersama Wartawan di sebuah hotel.

sepatutnya kaum wartawan menjalankan kempen terhadap Kerajaan Persekutuan supaya turut meluluskan lesen radio dan televisyen bagi memudahkan rakyat mememahami erti demokrasi.

PAS, katanya memohon supaya diberikan lesen radio dan televisyen sejak lama dahulu tetapi hingga kini masih tidak ditunaikan.

“PAS tidak ada radio dan tv, sedangkan negara dikatakan mengamal demokrasi. Demokrasi apa macam itu.

“Tetapi kalau selagi wartawan menyokong perkara salah dilakukan Pusat itu, maka sampai bila pun rakyat dan negara tidak selamat, dan tidaklah pihak berkenaan sewenang-wenangnya menggunakan ISA terhadap pembangkang,”

Beliau turut mengulas layanan diberikan kepada Utusan Malaysia.

“Akhbar harian Utusan Malaysia dianak tirikan kerajaan negeri ketika bertugas, macam mana tidak diketepikan sebab Utusan berat sebelah,”

Beliau menambah, terdapat pebezaan kandungan akhbar Sinar Harian berbanding Utusan di mana dalam Sinar menyiarkan berita orang PAS dan Umno

beliau melihat sebahagian besar orang kampung sekarang ini jarang membaca Utusan.

“Wartawan yang benar-benar ‘wartawan’ mereka tidak perlu berpihak kepada Pusat. Sepatutnya wartawan turut mengempen sama supaya Pusat memberikan lesen radio dan tetevisyen kepada negeri Kelantan,”

Hadir sama ialah Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yussof dan Setiausaha Akbar, Ahmad Fadhli Shaari.

Wednesday, September 15, 2010

penurunan kadar jenayah adalah satu retotik -ketua pemuda-


1. Pertamanya saya mewakili seluruh warga Dewan Pemuda PAS mengutuk sekeras - kerasnya segala perbuatan jenayah kejam dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa jenayah terbaru iaitu :

a. Ustazah Norliza Ishak 35, [ yang dibunuh kejam bersama anaknya Amirul Ayman 10, pada 3 Sept 2010 - Port Dickson ]

b. Datuk Sosilawati Lawiya 47, dan 3 mangsa yang lain [ juga dibunuh kejam setelah hilang sejak 30 Ogos 2010 - Kuala Lumpur ] .

c. Sebelum ini Mohamad Adam Muzaffar telah disembelih oleh bapanya [ Muhaimi Sautar 33, ] pada 24 Ogos 2010 - Kota Bharu .

d. Noraini Ahmad 20, dirogol dan dibunuh dengan kejam , ditemui dalam keadaan kepalanya cedera parah dan tangannya diikat dengan dawai pada 12 Ogos 2010 . - Sungai Petani .
Bold
e. Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan 8, dan Che Ku Zaimah Che Ku Awang 28, cedera parah dibahagian muka dan mata apabila disimbah cuka getah dalam satu kejadian amuk di Kampung Sekayu pada 15 August 2010 . - Hulu Terengganu .

f. Ilya Nabilah Rosnata 19 ditemui mati dirogol dan dibunuh dengan kejam dengan kesan tikaman pada bahagian dadanya , dipercayai telah dibunuh seminggu sebelum dijumpai terapung di Sungai Bagan dan tangannya diikat pada sebatang pokok 21 Julai 2010 lalu .- Pulai Chondong Machang.

g. Pengawal Keselamatan dibunuh dengan kejam dalam satu kejadian di Pekan Batu 9 . Mangsa dipercayai telah dilanggar terlebih dahulu dan kemudiannya tangan kirinya dipotong dengan sebilah parang pada 4 Julai 2010 .- Kajang

h. Amir Khan Abdullah @ Balwant Singh 53, ditemui mati berlumuran darah dengan tujuh tikaman di kepala sehingga terkeluar otaknya dan tiga tikaman di dada kiri di atas tilam dalam sebuah bilik di rumahnya pada 1 Julai 2010 . - Selayang .

i. Siya Pandian Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak mati ditembak di bahagian kepala dan dadanya dihadapan kedai mencuci kereta miliknya pada 15 Mac 2010 di Langkap Teluk Intan Perak .

j. K. Haresarren 18 bulan mati selepas mengalami keretakan tulang rusuk , hatinya pecah dan lebam di seluruh tubuh kerana didera teruk pada 3 Mac 2010 . Petaling Jaya sebelum itu pada 25 February 2010 , Syafiah Humairah 3, mati dipukul , disepak dan dipijak . - Shah Alam

k. Atan Daud 90, Sutiah Katas 80, Ismail Awang 76, dan Siti Khatijah Ismail 22 ditemui terbunuh dengan begitu kejam pada 5 January 2010 . - Gemencheh

2. Saya hanya membawakan 10 kes jenayah kejam dari ratusan kes kejadian jenayah dalam negara kita sejak awal tahun ini . Bermula dengan satu tragedi pembunuhan 4 anggota keluarga di Gemencheh January lalu , kini negara gempar lagi dengan pembunuhan kejam ke atas Datuk Sosilawati dan 3 lagi mangsa yang merupakan pembantu beliau .

3. Program Transformasi Kerajaan [GTP] yang diperkenalkan April tahun lepas oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan kononnya telah mencapai hasil signifikan menerusi pelbagai inisiatif Bidang Keberhasilan Utama negara [ NKRA ] .

4. Alex Iskandar Liew [ Pengarah Komunikasi GTP di Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan ( PEMANDU ) di Jabatan Perdana Menteri ] menjelaskan bahawa indeks jenayah keseluruhan pada januari hingga ogos telah menurun 16.24 peratus .

5. Melihat kepada perkembangan mutaakhir betapa sadisnya jenayah yang berlaku membuatkan semua pihak kembali ragu terhadap dakwaan kononnya indeks jenayah telah menurun . Sebaliknya rata - rata melihat Malaysia merupakan sebuah negara yang berdepan dengan ancaman nilai keamanan dan keselamatan .

6. Setiap hari akan ada sahaja jenayah dilaporkan berlaku di seluruh negara oleh media massa. Bahkan jenayah tidak lagi dihitung dengan kadar berapa kali kejadiannya setahun , sebulan dan sehari , tetapi kini dihitung mengikut kadar jam , minit dan saat .

7. Saya percaya semua pihak bertanggungjawab terhadap usaha membenteras jenayah , namun kerajaan adalah pemegang amanah untuk meletakkan rakyat dan negara dalam keadaan selamat , aman dan sejahtera . Rakyat tidak boleh dikaburi dengan kenyataan - kenyataan hipokrit dan bersifat retorika politik semata - mata .

8. Pencapaian NKRA dilihat sangat tidak meyakinkan . Malah negara masih subur dengan elemen - elemen yang mempunyai potensi besar untuk mendorong berlakunya satu - satu jenayah . Sementelah pula langkah pencegahan masih bersifat melepaskan batuk ditangga. ianya tidak dilakukan secara serius.

- [ samalah seperti mencetak kata - kata amaran dan gambar penyakit yang menjadi akibat ketagihan rokok di kotak rokok dan kemudiannya dibenarkan ia dijual kepada orang ramai. ]

- [ samalah juga tindakan kerajaan mengeluarkan lesen untuk operasi hiburan atau kelab malam dan penjualan kondom serta minuman beralkohol di kawasan majoriti muslim kemudian kerajaan yang sama pula melantik pencegah maksiat supaya menghalang dan menangkap orang yang melakukan maksiat .]

9. Kedua - dua nota di atas memperlihatkan kepada kita betapa tidak seriusnya kerajaan menangani pertumbuhan indeks jenayah dan mungkar dalam negara kita lantaran mereka berpeluang membuat keuntungan di sebaliknya . Fenomena ini sangat dikesali dan ia sekali - kali tidak akan dapat membebaskan negara dari belenggu jenayah jika inilah sikap yang ada pada kerajaan .

10. Sekadar mengutuk sekeras - kerasnya segala jenayah yang berlaku tidak boleh merubah apa - apa kecuali satu tindakan berkesan dan bersepadu dengan gandingan semua pihak [ kerajaan dan rakyat ] dilakukan secara bijak demi masa depan negara . Dewan Pemuda PAS Pusat sekali lagi melihat Islam dan syariatnya adalah satu solusi tepat untuk menghindarkan negara dari badi jenayah yang semakin menular.

Kami juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Tahniah kepada Tan Sri Ismail Omar yang telah dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru agar tan Sri ismail dapat berkhidmat dengan adil , telus , benar dan saksama serta cekap dan tegas membasmi rasuah dan jenayah dalam negara ini . Kes jenayah kejam yang menimpa Datuk Sosilawati menjadi kes high profile yang pertama mesti dihadapi oleh Ketua Polis Negara yang baru . Semoga berjaya dengan cahaya kebenaran dan petunjuk Ilahi .

Wednesday, September 08, 2010

SELAMAT HARI RAYA 1431H/2010

kutbah hari raya daripada ketua pemuda pas pusat

Syariat Islam Satu Penyelesaian

Khutbah pertama :

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته،

الله أكبر الله أكبر الله أكبر

الله أكبر الله أكبر الله أكبر

الله أكبر الله أكبر الله أكبر

الله أكبر خَلَقَ الخُلْقَ وَأَحْصَاهُمْ عَدَداً ، الله أكبر وَكُلُّهُمْ آتِيهِ يَوْمَ القِيَامَةِ فَرْداً ، الله أكبر خَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ بِقَدَرْ، الله أكبر مَلَكَ كُلَّ شَيْءٍ وَقَهَّرَ ، الله أكبر مَا طَافَ فِي بَيْتِهِ الطَّائِفُونَ ، الله أكبر كبيراً .

والحمدُ لله كَثِيرًا لَّهُ الحَمْدُ جَلَّ وَعَلاَ عَلَى نِعْمَائِهِ ، وَلَهُ الشُّكْرُ عَلَى سَرَائِهِ ، وَلَهُ الصَّبْرُ عَلَى مَا قَضَى مِن بَلاَئِهِ ، الحمد لله كثيراً والله أكبر كبيراً ، وسبحان الله بكرةً وأصيلاً, وَأَشْهَدُ أَنَّ نَبِيَّنَا وَقَائِدَنَا وَقُدْوَتَنَا وَسَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ ، نَبِيُّهُ المصطفى ، وَرَسُولُهُ المُـجْتَــبَى ، صلى الله عليه وعلى آله وَصَحَابَتِهِ أَجْمَعِينَ وَعَلَى مَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَومِ الدِّينِ وَعَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ

Firman Allah swt :

Maksudnya: “ Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah setiap orang memerhatikan apa yang telah diusahakannya untuk hari esok (Hari Akhirat) dan teruslah bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui terhadap apa yang kamu lakukan”.

Al Hasyr: Ayat-18.

Alhamdulillah, kita baru sahaja selesai menunaikan ibadat puasa . Kita berdoa agar segala amalan kita sepanjang bulan Ramadhan ini diterima oleh Allah swt , marilah kita sama-sama meneruskan ketaqwaan kita kepada Allah swt, kerana sesungguhnya matlamat berpuasa ialah melahirkan jiwa yang bertaqwa kepada Allah. Semoga kita beroleh kekuatan untuk terus melakukan amalan-amalan terpuji , yang telah kita lakukan sepanjang bulan ramadhan dan terus menghindarkan diri , dari amalan-amalan yang keji yang telah kita tinggalkan sepanjang bulan Ramadhan.

Mudah - mudahan kita digolongkan bersama mereka yang dibebaskan dari api neraka sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah swt melalui rasulNya saw. Justeru , pembebasan dari api nerakalah yang merupakan kejayaan yang hakiki.

Firman Allah swt :

Maksudnya : Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. dan Sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, Maka sesungguhnya ia telah beruntung. Tidaklah kehidupan dunia itu melainkan hanyalah kesenangan yang memperdayakan.

(Surah ali-Imran, ayat 185)

الله أكبر الله أكبر الله أكبر و لله الحمد

Muslimin dan muslimat yang dikasihi Allah,

Satu syawal kembali tiba dengan iringan kalimah kebesaran dan keagongan Allah swt, meraikan kemenangan besar bagi setiap insan yang bertaqwa , menewaskan hawa nafsu sepanjang tempoh permukiman di bulan Ramadhan al Mubarak.

Proses penyucian jiwa dan pemurnian akhlak yang dilalui merentas hari – hari yang penuh rahmah dan barakah daripada Allah Azza wa Jalla bersama Madrasah Ramadhan al Mubarak , meletakkan kita senantiasa di pandu hidayah dan taufiq Allah swt.

Sebagaimana dalam Firman Allah swt :

Maksudnya: “ (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan DIA tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah di atas petunjukNya yang dikurniakan kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.”

Al Baqarah: Ayat 185.

الله أكبر الله أكبر الله أكبر و لله الحمد

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Ketenangan kita ummat Islam menjalani pesta ibadah sepanjang Ramadhan al Mubarak, demi mendekatkan diri kepada Allah swt agak terganggu apabila tumpuan kita teralih kepada bencana dan musibah social yang melanda ummah dan negara kita mutaakhir ini. Fenomena ini menimbulkan keresahan dan kebimbangan ummah terhadap kesejahteraan dan keselamatan mereka.

Pastinya masih segar dalam ingatan kita bagaimana dewasa kini , negara dan ummah terpaksa berdepan dengan bencana social yang melibatkan pelbagai kes seperti penagihan dadah , sumbang mahram , zina , rogol kanak – kanak , buang bayi , rompak samun , culik dan pembunuhan kejam .

Persoalannya , malapetaka apakah yang sedang melanda ummah dan negara ini ? Belenggu apakah yang membebankan ummah sehingga berlaku peningkatan kadar jumlah pesakit jiwa dan mental dalam negara kita ? Apakah kini ummah sedang berada dalam kemurkaan Allah swt lantaran berleluasanya maksiat dan mungkar ?

Ingatlah sabda Rasulullah saw

يَا مَعْشَرَ الْمُهَاجِرِينَ, خَمْسٌ إِذَا ابْتُلِيتُمْ بِهِنَّ وَأَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ تُدْرِكُوهُنَّ, لَمْ تَظْهَرْ الْفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوا بِهَا إِلاَّ فَشَا فِيهِمْ الطَّاعُونُ وَالأَوْجَاعُ الَّتِي لَمْ تَكُنْ مَضَتْ فِي أَسْلافِهِمْ الَّذِينَ مَضَوْا، وَلَمْ يَنْقُصُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ إِلاَّ أُخِذُوا بِالسِّنِينَ وَشِدَّةِ الْمَئُونَةِ وَجَوْرِ السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ, وَلَمْ يَمْنَعُوا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلاَّ مُنِعُوا الْقَطْرَ مِنْ السَّمَاءِ وَلَوْلا الْبَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوا, وَلَمْ يَنْقُضُوا عَهْدَ اللَّهِ وَعَهْدَ رَسُولِهِ إِلاَّ سَلَّطَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ غَيْرِهِمْ فَأَخَذُوا بَعْضَ مَا فِي أَيْدِيهِمْ، وَمَا لَمْ تَحْكُمْ أَئِمَّتُهُمْ بِكِتَابِ اللَّهِ وَيَتَخَيَّرُوا مِمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلاَّ جَعَلَ اللَّهُ بَأْسَهُمْ بَيْنَهُمْ (رواه أبو داود)

Yang bermaksud : Rasulullah SAW telah bersabda : Wahai kaum muhajirin, (awaslah) lima perkara (dari) menimpa kamu dan aku berlindung kepada Allah, semoga kamu tidak ditimpanya ;

· Tidak berlaku dengan terang maksiat dalam mana-mana kaum dan golongan sehingga mereka melakukannya secara terbuka kecuali tersebarlah penyakit taun dan kelaparan yang tidak pernah berlaku kepada orang-orang terdahulu.

· Tidak mengurangkan sukatan dan timbangan kecuali dibala dengan kemarau bertahun-tahun dan kesukaran hidup serta kezaliman penguasa ke atas mereka,

· Tidaklah mereka enggan mengeluarkan zakat kecuali dihalang turunnya hujan ke atas mereka dan kalaulah tidak kerana binatang-binatang, mereka tidak akan menerima hujan.

· Tidak melanggar janji Allah dan janji rasulNya kecuali Allah akan menjadikan musuh mereka berkuasa ke atas mereka dan mengambil hak-hak mereka.

· Dan (apabila) tidak berhukum pemimpin mereka dengan kitab Allah dan memilih selain dari apa yang diturunkan oleh Allah, Allah akan menjadikan pertelingkahan di kalangan mereka

(Riwayat Abu Daud)

Juga sebagaimana Firman Allah s.a.w:

Maksudnya: “ Barang siapa membunuh seorang mukmin yang lain secara sengaja, maka balasannya adalah neraka Jahanam di mana dia kekal di dalamnya serta Allah murka kepadanya dan melaknatnya dan disediakan baginya azab yang besar.”

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekelian .

Satu Syawal sekali lagi menyaksikan ummat Islam gembira dan ceria menyambut kehadhiran tetamu dan saling kunjung mengunjung mengeratkan silaturrahim. Ianya satu amalan mulia yang wajar diteruskan . Namun , dalam kegembiraan itu marilah kita menghayati nilai dan pengertian takbir raya yang kita lafazkan sepanjang hari ini.

Takbir Hari Raya [ baca Allahuakbar …… walillaahilhamd ] adalah satu pengisytiharan atau deklarasi ummah untuk mengagongkan Allah swt dan membebaskan diri , aqidah , pemikiran serta tindakan dari sebarang anasir yang membawa kepada syirik. [ Justeru itu seluruh ummat Islam mencela iklan Aidil Fitri yang tersiar di TV 3 baru – baru ini apabila iklan tersebut menyamakan Aidil Fitri dengan unsur Santa Claus di dalam sambutan Krismas.]

Membebaskan diri dari pengaruh syirik dan hanya meletakkan ketundukan serta kepatuhan kita [ sebagai seorang hamba ] hanyalah kepada Allah swt , sebenarnya memberi erti dan nilai yang sangat tinggi kepada ummah dan negara . Terutama disaat negara dan ummah menghadapi krisis nilai manusia dan bencana social yang mengancam kemurnian tamaddun dan peradabannya.

Tunduk dan patuh hanya kepada Allah swt ertinya menobat dan memartabatkan Ketuanan Allah swt. dalam seluruh aspek kehidupan termasuklah mendaulatkan syariat Allah swt di atas muka bumi ini sehingga ia mengatasi segala ideology yang dicipta oleh manusia . Sebagaimana sabda Rasulullah saw :

الإسلام يعلوا و لا يعلى عليه

Islam adalah agama yang tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.

الله أكبر الله أكبر الله أكبر و لله الحمد

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah .

Kini telah tibalah masanya Syariat Islam diberikan peluang bagi menggantikan system dan dasar kehidupan yang tidak berkesan , sebaliknya system dan dasar ciptaan manusia itu hanya mendorong ummat manusia terjerumus dalam maksiat dan mungkar , sehingga meletusnya satu bencana serta mala petaka social yang sukar dibendung dalam negara kita mutaakhir ini .

Setelah ia dinafikan sekian lama , maka inilah saat dan peluang terbaik untuk Syariat Islam berperanan dan berfungsi sebagai formula penyelesaian yang tepat dan benar bagi menyelamatkan negara dan ummah dari bencana yang merosakkan aqidah jua memusnahkan nilai syakhsiah mereka , justeru syariat Islam adalah peraturan dan undang – undang yang diwahyukan oleh Allah swt. Tuhan yang mencipta manusia .

Firman Allah swt di dalam surah al Jaathiyah ayat 18 – 19 :

Kesudahannya Kami jadikan Engkau (Wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka Turutlah syariat itu, dan janganlah Engkau menurut hawa nafsu orang-orang Yang tidak mengetahui (perkara Yang benar). Sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkanmu sedikitpun dari (azab) Allah (kalau Engkau menurut mereka); dan Sesungguhnya orang-orang Yang zalim itu setengahnya menjadi Penolong dan penyokong bagi setengahnya Yang lain (dalam perkara Yang salah); dan (sebaliknya) Allah menjadi Penolong dan Pelindung bagi orang-orang Yang bertaqwa (yang Engkaulah pemimpinnya).


Tanpa syariat Islam , ummat manusia akan terus terkepong dan hanyut dalam arus jahiliyah moden yang melanda negara sejak sekian lama . Kita mungkin telah berjaya mencapai pelbagai kejayaan lahiriah , pembangunan dan kemajuan teknologi yang begitu hebat. Kita juga begitu bangga mendabik dada dengan produk dan hasil keluaran Negara, walhal , sebenarnya kita sedang menghirup kemewahan di atas bongkah kegagalan dan kepincangan ummah yang semakin tenat .

Wabak yang menghakis nilai kemanusiaan dan keimanan ini terus melanda lalu memusnahkan kehidupan . Fenomena ini sangat mengusarkan pelbagai pihak, lebih-lebih lagi institusi keluarga yang diterajui oleh ibu bapa seperti kita. Persoalan bagaimana untuk membesar dan mewariskan generasi masa depan yang unggul , di saat manusia semakin luntur moral dan nilai kemanusiaan sering bermain di minda dan jiwa kita.

الله أكبر الله أكبر الله أكبر و لله الحمد

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah swt .

Kesempatan kita berhimpun pada hari kemenangan ini, cubalah kita menoleh seketika menjenguk ke dunia anak remaja kita hari ini, di mana mereka terdiri dari anak gadis dan pemuda yang menjadi harapan agama , bangsa dan negara .

Adakah generasi yang sedang kita besarkan ini [ sebagai generasi masa depan ] sudah mantap ilmu agamanya, sudah tahu cara menjaga pergaulan sebagaimana yang diajar oleh agama. Sudahkah mereka memenuhi tuntutan Islam dalam pengabdian diri kepada Allah swt dan juga adab mereka berpakaian, atau kita sengaja membiarkan mereka membesar dalam kejahilan serta ketempangan fikrah [ pemikiran ] dan syakhsiah [ peribadi ] ?

Sebagaimana firman Allah :

Al Kahfi : ayat 46

Maksudnya : “Harta dan anak-anak merupakan perhiasan dunia”.

Justeru itu , generasi yang sepatutnya membesar dengan memiliki hak mereka untuk mendapatkan pendidikan dan bimbingan agama bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh. Kelak , samaada generasi inilah yang akan mendoakan kita para ibu bapa bebas dari api neraka atau merekalah yang bakal mendakwa ibu bapa mereka di hadapan Allah s.a.w kelak di atas kegagalan mendidik dan membimbing mereka.

Budaya hedonisme [ mengagongkan hiburan ] dan menjadikan artis sebagai idola dan ikutan begitu menular dan membarah dalam dunia remaja hari ini. Betapa tidak … jiwa masyarakat kita hari ini saban hari disuap dengan pelbagai hiburan yang melalaikan. Termasuklah sambutan Aidil Fitri turut disogok dengan hiburan yang berlebihan berbanding takbir dan tahmid membesar dan mengagongkan Allah swt.

الله أكبر الله أكبر الله أكبر و لله الحمد

Sidang jamaah yang dikasihi sekelian,

Mimbar khutbah hari ini turut mengambil kesempatan untuk menyeru dan mengajak seluruh kaum wanita, para ibu khususnya agar dapat meningkatkan komitmen mereka terhadap usaha mendaulatkan Islam di dalam diri, keluarga dan negara. Isu-isu yang mengugat kehormatan wanita begitu rancak bercambah dalam pelbagai dimensi. Kononnya di atas nama kebebasan wanita, suara-suara lantang kedengaran memperjuangkan hak-hak wanita, sedangkan suara itu sebenarnya sedang menggamit kaum wanita bebas dan terkeluar dari manhaj Islam .

Wanita yang sepatutnya menjadi pencorak ummah dan pembina tamaddun , hari ini semakin dicabul maruahnya, apabila susuk tubuh dan raut wajah mereka sering dieksploitasi malah dijadikan model untuk iklan murahan di gedung – gedung jualan dan media massa.

Kebebasan yang mereka canangkan ini bukanlah satu kebebasan sebenarnya, sebaliknya ia adalah satu diskriminasi , pencabulan hak dan maruah wanita sepertimana yang pernah berlaku di zaman jahiliah sebelum kedatangan Islam. Kaum wanita hanya dijadikan barang dagangan, dijual beli maruahnya di khalayak ramai. Hari ini, dunia seolah-olah telah kembali kepada zaman silam yang primitive .

Para wanita seharusnya sedar dan faham agar kalian dapat bangkit dan menegakkan kembali maruah yang semakin tercemar. Hukum dan batasan yang ditetapkan oleh Allah swt dalam aspek kehidupan dan muamalah merupakan panduan bagi kita menjalani kehidupan. Larangan serta perintah untuk menjaga aurat dan maruah bukanlah untuk mendera dan menyekat hak kebebasan kaum wanita malah ia sebenarnya bertujuan untuk melindungi wanita dari sebarang pencabulan maruah dan nilai harga diri.

Ia disebut oleh Allah swt dalam Surah al Ahzab ayat ke-33:

Maksudnya: “ Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu. Dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat, dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu wahai ahli bait dan hendaklah membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah swt ,

Oleh yang demikian, menyedari hakikat bahawa kita ummat Islam sedang menghadapi ancaman dari pelbagai sudut, maka marilah kita menjadikan Ramadhan yang baru sahaja kita tinggalkan dan hari raya Aidil fitri yang kita sambut ini , sebagai satu titik tolak untuk meningkatkan kerja kita untuk Islam. Islam menagih tenaga kerja jemaah untuk mendaulatkan syariat dari terus ditindas dan dicemarkan oleh musuh Islam dari luar dan dalam.

Taburkanlah sebanyak mungkin sumbangan dan pengorbanan kita untuk agama yang kita cintai ini sebelum kita dipanggil untuk menghadap Allah swt.. Sesungguhnya perkara yang paling berharga saat kita di hadapan Allah swt kelak ialah amalan kebaikan serta jihad Fisabilillah yang kita lakukan di dunia ini.

Allah swt berfirman:

Bermaksud: “ Hari yang padanya harta benda dan anak pinak tidak dapat memberikan pertolongan (sesuatu apapun). Kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)

As Syua`ara : 88-89.

Akhirnya , marilah wahai muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah swt , pada hari raya ini kita bersyukur di atas nikmat Islam dan Iman yang dikurniakan kepada kita oleh Allah swt dan hanya kematian di dalam Iman dan Islam sahaja yang diredhai oleh Allah swt. Semoga pentarbiyahan sebulan di Madrasah Ramadhan benar - benar memberi kita hidayah dan taifiq untuk terus menghadapi segala mehnah atau ujian di masa akan datang.

أقول قولي هذا وأستغفر الله لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات فاستغفروه إنه هو الغفور الرحيم

Khutbah kedua

اللهُ أكبر ، الله أكبر ، الله أكبر ، الله أكبر ، الله أكبر، الله أكبر ، الله أكبر ، الله أكبر ، اللهُ أكبُر, وَللهِ الْحَمْدُ .

اَلْحَمْدُ للهِ وَحْدَهُ ، صَدَقَ وَعْدَهُ ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ، وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيءٍ قَدِيرٌ. وَأَشهَدُ أَنَّ محمدًا عَبدُهُ وَرَسُولُهُ، اَلرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ، وَالْمِصْبَاحُ الْمُنِيْرُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا محمدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ وَشَفِيعِ الأُمَّةِ، وَعَلَى آَلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالاَه

Saudara, Saudari, Muslimin, Muslimat dirahmati Allah ,

Hari ini kita menyambut hari raya Fitrah atau Aidilfitri hasil daripada kejayaan perjuangan kita dan penat lelah segala ibadat dan amal kebajikan yang kita laksanakan selama sebulan di bulan Ramadhan , kalau bebanan terasa berat kita memikulnya kini sudah terasa ringan, kalau sebahagian dari perkara terbatas dan terasa terikat untuk kita lakukan di waktu siang hari bulan ramadhan, hari ini sudah terbuka bebas.

Namun begitu kebebasan yang diberi pada hari ini masih ada sempadannya. Kerana hari raya kurniaan Allah kepada umat Islam adalah juga merupakan ibadat lanjutan dari bulan Ramadhan yang penuh keberkatan . Walaupun kita diharuskan menyambut dengan penuh kegembiraan dan memeriahkan kebesarannya tetapi perlu dihayati dalam lingkungan yang dibenar oleh syarak.

Untuk menambah lagi ganjaran pahala mengiringi pahala sepanjang Ramadhan, adalah dituntut supaya berpuasa sunat enam hari dalam bulan Syawal sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

" مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ" رواه مسلم.

Ertinya: Sesiapa berpuasa bulan Ramadhan kemudian mengikutinya (dengan) berpuasa enam hari daripada bulan Syawal nescaya mendapat pahala sepanjang masa,

الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر,

لا إله إلا الله, والله اكبر, الله اكبر ولله الحمد,

Sempena menyambut hari raya ini serta berlalunya Ramadhan baru lepas yang sama-sama kita raikan, marilah kita memperteguhkan keimanan kita kepada Allah dan Rasulnya di samping mempertingkatkan semangat juang untuk membela Islam seperti mana tawaran Allah dalam firmannya:

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman mahukah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab siksa yang tidak terperi sakitnya. Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya serta kamu berjuang dalam membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu, yang demikian itulah lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Surah al-Shaff, ayat 11-12

اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ اللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الأحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأمْوَاتِ إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعَوَاتِ وَقَاضِيْ الحَاجَاتِ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَانْصُرْهُمْ عَلَى عَدُوِّكَ وَعَدُوِّهِمْ , اللّهُمَّ لا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا مَنْ لايَخَافُكَ وَلا يَرْحَمُنَا, اللّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا المُسْلِمِيْنَ فِى عِرَاق وَفِى فَلَسْطِين وَفِى كَشْمِيْر وَفِى الهِنْد وفى أفغانستانِ وَفِى شِيْشَان وَفِى جَنُوْبِ بِلِيِبين وَفِى إينْدُوْنِيْسِيَا وَفِى تَايْلَنْدِ وَفِى بَلَدِنَا ماليزيا اللّهُمَّ انْصُرِ المُجَاهِدِيْنَ الَّذِيْنَ يُجَاهِدُوْنَ فِي سَبِيْلِكَ فِي كُلِّ زَمَانٍ وَمَكَانٍ.

اللّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الكِتَابِ وَ يَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَ يَاهَازِمَ الأحْزَابِ اِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِاليَهُوْدِ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالنَّصَارَى وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالأمِيرِكَان وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالِبرِيطَان وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِأَحْزَابِ المُشْرِكِيْنَ الطَّاغِيْنَ الظَّالِمِيْنَ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ دَمِّرْهُمْ تَدْمِيْرًا وَ تَبِّرْهُمْ تَتْبِيْرًا وَاجْعَلْهُمْ هَبَاءً مَنْثُوْرًا

اللّهُمَّ انْصُرْ مَنْ نَصَرَ دِيْنَكَ وَاخْذُلْ مَنْ خَذَلَ دِيْنَكَ , اللّهُمَّ أَعِزَّ الإسْلامَ وَالمُسْلِمِيْنَ وَأَذِّلَّ الشِّرْكَ وَالمُشْرِكِيْنَ وَدَمِّرْ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ وَانْصُرْ عِبَادَكَ المُؤْمِنِيْنَ . اللَّهُمَّ إِنِّا نعُوذُبِكَ مِنْ البَرَصِ، وَالجُنُونِ، وَالجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّءِ الأَسْقَامِ تَحَصَّنَّا بِذِى الْعزَّةِ وَالْجَبَرُوْتِ وَاعَتَصَمْنَا بِرَبِّ الْمَلَكُوْتِ وَتَوَكَّلْنَا عَلَى الْحَيِّ الَّذِى لاَ يَمُوْتُ اللّهُمَّ اصْرِفْ عَنَّا هَذا الْوَبَاءَ وَقِنَا شَرَّ الرَّدَى وَنَجِّنَا مِنَ الطَّعْنِ والطَّاعُوْنِ وَالْبَلاَءِ بِلُطْفِكَ يَا لَطِيفُ يَا خَبِيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ اللّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنَّا صَلاتَنَا وَصِيَامَنَا وَقِيَامَنَا وَزَكَاتَنَا وَجَمِيْعَ حَسَنَاتِنَا وَاجْعَلْهَا خَالِصَةً لِوَجْهِكَ الكَرِيْم. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. سبُحْاَنَكَ اللّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمْ فِيْهَا سَلامٌ وَآخِرُ دَعْوَاهُمْ أَنِ الحَمْدُ ِللهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ

Tuesday, September 07, 2010

malaysia perlukan pemerintah adil lagi telus...


Malaysia memerlukan pemerintah lebih adil berbanding pemerintahan Umno yang ada pada hari ini, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Berucap pada satu ceramah di Shah Alam malam tadi, negara ini sudah rosak akibat amalan rasuah, kronisme dan pembaziran yang dilakukan pemerintah.

Lebih teruk katanya apabila isu perkauman cuba dihangatkan dalam usaha meraih sokongan politik.

Zaman Rasulullah dahulu, keadilan menjadi teras kepada memilih pemimpin tanpa mengira faktor bangsa dan agama.

"Tak kira anak tempatan atau bukan anak tempatan kerana Rasulullah SAW sendiri bukan anak jati Madinah.

"Rasulullah s.a.w diberi mandat sebab rakyat yakin baginda boleh laksana keadilan untuk semua," .

Isu perkauman dibangkitkan Umno menunjukkan parti itu berada dalam keadaan terdesak selepas mereka ditolak oleh rakyat.

Beberapa amalan Umno itu menurut beliau, tidak ubah seperti amalan para pemimpin jahiliah Arab yang tidak mahu Rasulullah melakukan Fathul Makkah.

"Seperti Arab Jahilah yang tidak mahu Rasulullah melakukan Fathul Makkah (pembukaan kota Makkah), Umno pun sanggup buat apa saja asalkan pemikiran rakyat dan kerajaan pusat boleh terus dijajah," .

Tambahnya, Umno lebih bimbang apabila orang bukan Melayu seperti Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dilihat lebih gigih memelihara kepentingan Melayu dan Islam di negeri Pakatan Rakyat itu berbanding zaman Umno.

"Kita di Malaysia pun perlu kepimpinan yang jauh lebih adil, kita perlu futuwwah (pembukaan) semacam yang Rasulullah buat (iaitu) ubah rakyat dari perhambaan sesama manusia pada perhambaan hanya kepada Allah," .

Sehubungan itu beliau menyeru rakyat agar tidak takut dengan propaganda media pro Umno, kononnya kepentingan Melayu akan terjejas sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan persekutuan kelak.

cina masuk masjid tak boleh, bina masjid halal pulak...


Negara jadi kecoh seminggu dua ini, bilamana ada seorang dua YB dari DAP masuk ke dalam ruang solat masjid dan surau di Selangor; seolah-olah itulah tragedi hitam dalam sejarah masjid di Malaysia. Macamlah perkara ni baru kali pertama berlaku, sedangkan semua orang tahu dah bertahun pimpinan MCA dan Gerakan yang bukan Islam memasuki masjid, tak jadi kecoh pun. Bahkan ada di kalangan mereka masuk untuk kempen dalam PRU pun sebelum ni..

Cuma sepatah kata kawan saya: “Cina MCA atau Gerakan tu tak apa, sebab dia orang dah tak berapa Cina, bukan macam DAP, itu ‘piau’ Cina punya”. Saya tak tahu mana yang ori mana yang dah celup, tapi bila tengok dua-dua tu Cina belaka. Isu sebenarnya bukanlah kerana dia Cina, tapi dia tu Cina yang duduk di Selangor dan P.Pinang. Kalau Cina Johor ke, Pahang ke, rasanya taklah kecoh sangat.

Lebih malang ada yang keluar ‘fatwa’ melarang Cina kafir masuk ke masjid, takut ianya mencemar nama baik masjid. Tapi bila bagi projek buat masjid, berapa ramai kontraktor Cina diambil untuk buat masjid? Bukan apa, kata tokei Cina itu: “Ini kita buat itu rumah Allah ho, jangan tipu-tipu, mesti baik punya, nanti ada ‘ong’ punya!”.

Dia pun tahu buat masjid tak boleh tipu, kena buat betul-betul, tapi bila bagi kepada kontraktor Melayu (sebut UMNO) buat masjid, lihatlah berapa banyak masjid yang terbengkalai, mengaut untung ‘atas angin’ bilamana tender dijual kepada kontraktor Cina. Bahkan yang memasang karpet masjid tu pun berapa banyak kontraktor Cina yang buat? Masa tu masuk masjid tak apa, sebab belum dirasmikan lagi. Yang dah rasmi pun kalau nak baiki ‘mic’ bagi power punya, berapa ramai Cina yang dapat projek? Ini tak apa pulak. Sebabnya hanyalah yang dapat tu Cina MCA, tak apa. Jangan Cina DAP je…

Nasib mereka ni macam ‘bulldózer’, yang diguna untuk tolak tanah, ratakan tanah nak buat lebuhraya, tapi bila dah siap, dia tak dibenarkan lalu atas lebuhraya tu. Kalau nak jalan jugak, dia kena naik lori. Jadi kalau DAP nak masuk masjid jugak, dia kena ‘naik’ atas BN rasanya baru ok……kalau dah jadi begitu, hari ni juga dia dah boleh masuk masjid.